SEMPORNA – DUNIA SYURGA PARA PELAUT

SEMPORNA – DUNIA SYURGA PARA PELAUT





Dalam kembara di Bumi Di Bawah Bayu kali ini, kakiku melangkah ke sebuah daerah dikenali sebagai Semporna. Perjalanan menaiki bas dari Kota Kinabalu ke Semporna mengambil masa hampir 9 jam merentasi belantara kuno Sabah melalui tepian-tepian rimba agung Maliau Basin dan kaki gunung lagenda Gunung Kinabalu yang masih belum dicabul tangan-tangan rakus manusia. Perjalanan malam hari dibuai gelodak jalan-jalan berlubang dan liku-liku yang kadang-kala menyukarkan mata ini untuk terlelap membuat diriku banyak berfikir tentang hidup dan kehidupan walaupun kadang-kadang terhangguk-hangguk dek keletihan.

Akhirnya hampir 9 jam bertarung dengan jalan, diriku serta beberapa rakan sampai di daerah Semporna dalam jam 5 pagi. Kami dibawa oleh saudara rakanku ke rumah rakanku untuk berehat sebelum memulakan pengembaraan menyusuri daerah ini. Misi kajianku kali ini adalah untuk mengkaji cabaran dan faktor migrant-migrant dari Filipina yang berhijrah ke Sabah demi memulakan hidup baru.

Perjalanan bermula dengan menaiki prebet sapu dari Kg Batu dua ke pekan Semporna. Kami melangkah di celah-celah campuran masyarakat yang sudah biasa dengan hidup di laut seperti Bajau Laut, Bajau Kubang, Sulu dan beberapa masyarakat lain yang ada di sini. Penduduk asal Semporna menurut orang tua di sini merupakan masyarakat Bajau Kubang. Bajau Kubang ini tinggal di darat dan mencari rezeki di laut. Berbeza dengan saudara mereka yang paling hampir iaitu Bajau Laut yang menjadikan bot, sampan dan kapal sebagai rumah mereka dan laut adalah kediaman mereka. Masyarakat Sulu juga merupakan golongan yang tidak terkecuali hebat di lautan namun masih menjadikan tanah besar dan pulau sebagai rumah. Masyarakat Sulu pula dikatakan berhijrah dari Filipina namun penghijrahan mereka bermula sejak sekian lama dahulu, malah ada yang sudah beratus dan bergenerasi lamanya tinggal di Sabah dan Semporna khususnya. Berbeza pula dengan masyarakat Bajau Laut yang unik, mereka tinggal di sekitar lautan Sulu yang merupakan sempadan antara Malaysia, Filipina dan lautan lepas. Jadi PBB telah mengizinkan mereka untuk terus belayar merentas sempadan politik demi menghormati adat yang telah mereka jalani berkurun lamanya.

Semporna merupakan salah satu daerah dan kawasan yang hampir dengan sempadan Filipina selain dari Sandakan, Lahad Datu dan Kudat. Kawasannya yang berada dipinggir pantai menjadikan masyarakatnya rapat dengan laut. Malah, kewujudan berpuluh-puluh pulau-pulau kecil di sekitar lautan Semporna menjadikan lautannya sering dikunjungi. Namun yang paling menjadi tumpuan adalah beberapa pulau yang diiktiraf antara pulau-pulau tercantik di dunia seperti Pulau Sipadan, Mabul dan Buhey Dulang. Kejernihan air lautnya yang berwarna biru, hijau, cyan, turquoise dan aqua memberikan satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Walaupun dibahagian jeti di belakang pasar mereka dipenuhi sampah yang dikatakan dari laut dan darat, namun ia tidak mencacatkan keindahan lautnya.

Dihadapan pekan Semporna menghadap ke laut merupakan sebuah pulau yang agak besar dipanggil pulau Bum-Bum yang mempunyai ramai penduduk. Dari tanah besar semporna ke pulau Bum-Bum mengambil masa lebih kurang 5-10 minit menaiki bot. Dasar airnya yang tidak terlalu dalam dan jernih memudahkan kita mengintai dasar laut semporna yang indah. Dalam perjalanan ke pulau tersebut, kita boleh melihat bot-bot kecil, bot-bot layar, bot nelayan dan bot pelancong berderum-derum merentasi lautan tersebut.  

Di pulau Bum-Bum, kami bermalam di kampung Look Butun untuk meneruskan kajian kami mengenai migrant disitu. Kebanyakkan migrant masih belum mempunyai dokumen yang lengkap, kebanyakkan mereka masih memohon IC merah dan mereka masih menggunakan Worldpass dimana ianya masih boleh digunakan cuma perlu diperbaharui. Kebanyakkan migrant yang kami kaji adalah dari etnik Sulu yang bermigrasi dari Filipina atas faktor mencari rezeki dan melarikan diri dari kekacauan di Kampung halaman. Di Sabah,mereka boleh mencari rezeki dengan tenang dan hidup lebih baik. Kebanykkan responden yang kami kaji menjadikan pengusahaan dan penjualan rumpai laut sebagai sumber mata pencarian utama selain menangkap ikan dan membuat serta membaiki perahu dan alatan menangkap ikan seperti jala dan pukat. Kebanyakkan mereka mendirikan rumah ditengah laut dikenali sebagai pondoan. Setiap pondoan mempunyai sekitar 3-8 buah rumah berasingan yang disanbung dengan titi kecil. Rumah-rumah kasyu ini dibina sendiri dengan bantuan keluarga dan kenalan. Untuk sampai ke mana-mana pondoan tidak lain tidak bukan adalah melalui laut dengan menggunakan bot dan perahu. Mereka membina rumah di tengah laut bagi memudahkan mereka mengutip hasil rumpai laut yang mereka tuai sebelum ini.


Walaupun pada pandangan orang luar mereka Nampak daif dan susah, namun jika dikaji dengan dekat, mereka hidup dengan gembira dan tenang. Ada yang sudah bergenerasi lamanya tinggal disitu dan ada pula yang baru sahaja bermigrasi dari Filipina beberapa puluh tahun lalu. Namun kebanyakkan mereka memiliki dokumen sah seperti dokumen Worldpass untuk tinggal disitu.

Dalam mengkaji isu dokumen ini, kebanyakkan rakyat Malaysia terutamanya rakyat semenanjung masih belum faham tentang isu pemberian IC oleh mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Bagi sesetengah orang, ia umpama menjual maruah negara dengan memberi kerakyatan negara kepada warga asing. Namun sedarkah kita, bahawa masyarakat ini Seperti Kaum Bajau dan Sulu telah lama tinggal di Sabah, Filipina dan perairan diantaranya. Namun dengan kemunculan negara baru yang membina sempadan politik iaitu sempadan Filipina dan Malaysia seolah-olah kita membelah kawasan kediaman mereka kepada dua. Ini tidak adil bagi masyarakat tersebut yang sudah berkurun lamanya menjadikan pulau-pulau dan lautan tersebut sebagai kediaman mereka dan mereka sekian lama hidup berpindah randah dari pulau ke pulau dan tinggal di dalam sampan di lautan. Jadi bagi mengurangkan masalah tersebut, inisiatif telah diambil bagi mengkaji dan meneliti serta membanci masyarakat ini dan memberikannya IC bagi yang layak.

Setelah selesai kajian yang dijalankan, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Mabul. Menaiki bot laju yang enjinnya berkekuatan 250cc menjadikan perjalanan hampir sejam dari Jeti Semporna. Kami dapat melihat pulau-pulau dan lautan yang begitu memukau pandangan. Sesampainya kami di Mabul, selepas makan kami mula berjalan dan meninjau di kawasan resort sebelum melangkah pula ke perkampungan Bajau Laut. Telah dibina tempok tinggi diantara kampung tersebut dengan kawasan resort dan kanak-kanak dihalang dan ditegah dari memasuki kawasan resort dan hotel. Apabila ditanya kenapa, jawapan pengusaha dan penjaga resort tersebut adalah, “ada kes kecurian”.. kami tidak mahu menuduh atau bersifat etnocetrism, namun jika dilihat,pulau tersebut asalnya adalah perkampungan mereka, kehadiran resort kapitalis dengan mudahnya menidakkan hak-hak orang tempatan. Dimanakah keadilannya kalau orang Bajau Laut sendiri perlu bayar untuk mandi laut di hadapan rumah mereka? Inilah yang perlu dibayar untuk membeli kapitalisme. Kami sempat berbual dan mandi bersama kanak-kanak Bajau Laut berhampiran sebuah resort sebelum kanak-kanak tersebut dihalau oleh penjaga resort tersebut.





























Kejernihan air laut yang memukau menarik ramai pelancong dari luar negara ke pulau tersebut. Pulau Sipadan yang diiktiraf antara 10 pulau tercantik dunia kini tidak boleh diduduki diatasnya atas faktor geologi asas tapak pulau tersebut yang merbahaya dan boleh runtuh bila-bula masa. Namun aktiviti scuba dan snorkeling masih boleh dijalankan dan para pelancong dan scuba divers akan tinggal di pulau mabul menjadikan pulau mabul semakin hari semakin ramai dengan pelancong. Pulau Mabul mengandungi beberapa kampung kecil dan berbelas buah resort dari yang mahal sehingga ke resort backpackers bagi scuba divers.
Dari pulau Mabul kami pulang ke Semporna dan bermalam di Kampung Batu Dua. Pada keesokkan harinya pula, kami ke Bukit Tengkorak dimana ia merupakan sebuah bukit yang agak tinggi yang membolehkan kita Nampak sekeliling Semporna. Selain itu, buki ini juga terkenal dengan arkeologi peninggalan masyarakat kuno di situ. Tulang belulang dan beberapa arang dijumpai oleh penyelidik hasil ekskavasi kumpulan arkeologi dari USM. Anak tangga dan pondok telah dibina dari kaki bukit sehingga ke puncak bukit tersebut memudahkan para pelancong mendaki Bukit Tengkorak. Sebuah muzium arkeologi Bukit Tengkorak dan beberapa kawasan lain di Semporna ada di kaki Bukit Tengkorak bagi mendidik dan memberi ilmu tentang aktiviti arkeologi dan budaya dan sejarah masyarakat awal pinggir pantai di Semporna kepada orang ramai.
























Dari Bukit Tengkorak, kami menuju ke Floating dimana ada dijual barang-barang kenangan untuk dijadikan cenderahati. Barang-barang tersebut termasuklah baju, topi, kerang-kerangan hiasan dan lain-lain. Terdapat juga sebuah tempat dijadikan kawasan pelancongan dimana mereka memelihara ikan-ikan di dalam air laut cetek. Kami tinggalkan Floating dan menuju ke Warisan iaitu tempat mandi dan kedai makan di pinggir laut Semporna. Disitulah Filem “Duyung” lakonan Apek Senario dan Maya Karin dilakonkan. Disini juga terjadi isu dimana kawasan pantai tersebut diletakkan jeti-jeti untuk mandi namun dikenakan bayaran.apakah masyarakat disitu juga perlu bayar untuk mandi di kampung sendiri..?













Kami tinggalkan persoalan dan kenangan bersama-sama pengalaman pahit manis kami di Semporna. Kami tinggalkan Semporna dengan seribu satu pengalaman dan mula membina perancangan untuk kembali ke Semporna semula…..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PERBEZAAN BIDANG ANTROPOLOGI, SOSIOLOGI DAN SEJARAH

PERBEZAAN BIDANG ANTROPOLOGI, SOSIOLOGI DAN SEJARAH
Dalam bidang sains sosial, terdapat beberapa bidang dibawahnya yang mengkaji dan meneliti manusia dari pelbagai aspek. Antaranya termasukah bidang antropologi, geografi, sejarah, sosiologi dan hubungan antarabangsa. Dalam coretan kali ini, kita akan cuba mengenal perbezaan antropologi, sosiologi dan sejarah. Ketiga-tiga bidang ini dikatakan sangat berkait rapat malah setiap bidangnya memerlukan satu sama lain bagi mengukuhkan kajian dalam bidang masing-masing.

SEJARAH
Disebabkan saya tidak berada dalam bidang sejarah,saya kurang arif tentang keseluruhan apa itu sejarah, namun saya akan cuba berdasarkan pengalaman belajar dalam bidang sejarah dari tingkatan 1 sehingga tingakatan 6 atas dan beberapa subjek elektif sejarah di UMS seperti subjek Sejarah Malaysia Sebelum Merdeka dan subjek Pengantar Ilmu Sejarah. Dalam kehidupan seharian, kita sering kali mendengar istilah "sejarah" ini diucapkan oleh orang ramai. Ya, orang selalu berkata; "Sejarah telah mengajar kita" atau "anda lupa sejarah" atau "dalam sejarah hidup saya belum pernah saya mengalami perkara yang sepelik ini". Maka, apakah yang dimaksud dengan kata atau istilah "sejarah" ini? Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah "sejarah" bermaksud tiga perkara utama;
1. Sastera lama, asal usul (keturunan), salasilah;
2. Peristiwa yang benar-benar berlaku di waktu yang lampau, kisah riwayat, tambo, dan;
3. Ilmu sejarah, kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa yang telah berlalu, tawarikh.
Di peringkat universiti, kita akan mengetahui dan mula sedar bahawa sejarah di peringkat universiti agak berbeza dengan sejarah yang dipelajari di peringkat sekolah. Di sekolah, kita mengetahui bahawa secara umumnya dalam bidang sejarah terdapat 4 perkara utama iaitu ekonomi, politik, sosial dan peristiwa sejarah. Dalam ekonomi,kita akan mengkaji cara manusia dahulu mendapatkan sumber makanan, mencari rezeki, sama ada dengan berniaga, bercucuk tanam, memburu, meramu, sistem barter dan sebagainya. Dalam bidang politik pula kita akan mengkaji corak politik secara asas seperti sistem beraja berpelembagaan, kepimpinan tokoh-tokoh, kepimpinan ketenteraan, dan lain-lain. Manakala dalam bidang sosial pula lebih luas apabila kita akan belajar tentang cara hidup manusia, budaya, adat, agama dan sistem kepercayaan, bahasa dan lain-lain. Peristiwa sejarah pula adalah perkara yang penting apabila pelajar sejarah akan diasah untuk mengingati dan memahami peristiwa-peristiwa sejarah yang penting seperti kemerdekaan Malaysia, perang-perang utama, tokoh-tokoh utama dan lain-lain.
Walaubagaimanapun, diperingkat universiti, pelajar akan ditekankan dengan peristiwa-peristiwa sejarah berdasarkan kronologi, punca peristiwa, kesan peristiwa dan sebagainya. Ianya dikaitkan dengan sejarah yang beraliran objektif yang mendukung bahawa sejarah yang ditulis adalah yang sebenar-benarnya yang terpisah dari penulis atau pengkaji sejarah atau sejarawan dan tanpa perlu dikritik, ditafsir dan lain-lain. Manakala bagi sejarawan yang beraliran subjektif pula cuba mengubah bidang sejarah supaya lebih terbuka. Dalam aliran ini, sejarah yang ditulis boleh dikritik, dipertikai, ditafsir berdasarkan ilmu yang ada pada seseorang sejarawan, kajian yang dilakukan dengan lebih terperinci, kajian lanjutan atau kajian perbandingan sejarah yang akhirnya mendorong dalam menghasilkan istilah ‘sentrik’ di mana sejarawan akan menulis fakta sejarah berdasarkan kepentingan, atau semangat nasional sejarawan tersebut contohnya Malaysia-centric atau euro-centric. Walaubagaimanapun tidak semua sejarawan di aliran subjektif adalah sentrik. Manakala 3 perkara lain seperti ekonomi, politik dan sosial dalam kajian sejarah adalah bagi memahami lebih mendalam dan menjawab persoalan-persoalan tentang peristiwa sejarah yang berlaku seperti mengapa perang salib tercetus? Mengapa orang Melayu Islam menentang komunis? Dan lain-lain. Kronologi dalam bidang sejarah amat penting bagi menyusun peristiwa-peristiwa yang berlaku secara teratur dan baik. Terdapat beberapa subjek sejarah yang saya senaraikan yang berada didalam bidang sejarah temasuklah Sejarah Malaysia, Sejarah Asia, Sejarah Eropah, Sejarah Timur Tengah, Sejarah Amarika, Museology(kajian mengenai pengurusan, penjagaan dan penubuhan muzium, arkib dan tapak-tapak warisan) dan lain-lain. Bidang pekerjaan yang berkaitan dengan sejarah yang boleh diambil oleh pelajar jurusan sejarah termasuklah pekerja arkib, pekerja muzium dan kurator, ahli arkeologi, ahli sejarawan dan pensyarah sejarah. Setakat itu sahaja perbincangan kita mengenai sejarah dahulu. Saya memohon maaf jika ilmu yang disampaikan ini kurang tepat kerana saya bukan dari bidang sejarah.

ANTROPOLOGI & SOSIOLOGI
Kedua-dua bidang tersebut saya gabungkan agar kita dapat mencari persamaan dan perbezaan secara terus. Kedua-dua bidang tersebut pada asasnya mengkaji manusia dan perilakunya secara luaran. Berbeza dengan bidang perubatan yang mengkaji tubuh manusia, dan berbeza juga dengan bidang psikologi dan kaunseling yang mengkaji manusia secara dalaman atau mengkaji tingkah laku manusia dengan cara pemikiran atau minda manusia termasuklah emosi.
Bidang Sosiologi dan antropologi cuba mengkaji  kebudayaan manusia, agama dan kepercayaan manusia, cara manusia berhubung, cara manusia bersosial antara satu dengan yang lain, mengkaji bahasa-bahasa manusia sama ada bahasa lisan, bahasa isyarat mahupun simbol-simbol atau tulisan. Umumnya, kedua-dua bidang ini cuba mengkaji keseluruhan berkaitan manusia.
Bagi pelajar bidang ini sendiri, mereka sudah pasti boleh mengenal perbezaan diantara kedua-dua bidang ini. Namun bagi pelajar lepasan STPM mahupun diploma atau matrik yang baru mendapat tawaran dalam bidang ini, pastinya tertanya-tanya, apakah perbezaan diantara kedua-dua bidang ini? Malah, pelajar dalam bidang ini sendiri kadang kala keliru diantara kedua-dua bidang ini. Pelajar bidang ini kebanyakkan menggunakan perbezaan jenis kajian untuk melihat perbezan bidang ini seperti tajuk kajian, adanya teori mahupun konsep atau apa/siapa yang dikaji. Biasanya tajuk kajian yang mempunyai ‘perubahan’ akan dikaikan dengan bidang sosiologi. Kajian yang mempunyai tajuk ‘kepercayaan’, ‘adat’, ‘budaya’ pula dikaitkan dengan bidang antropologi. Kajian yang menggunakan teori juga dikaitkan dengan bidang sosiologi, manakala bidang yang menggunakan konsep semata-mata pula dikaitkan dengan bidang antropologi. Selain itu, pelajar juga akan melihat jenis kajian untuk mengetahui bidang mana kajian tersebut berada. Kajian-kajain seperti homestay, perkilangan, pekerjaan, industri, ekonomi dan politik dianggap kajian yang bersifat sosiologi. Manakala kajian seperti budaya, bahasa, agama, tradisi, kepercayaan, ritual dan adat pula lebih dikaitkan dengan bidang antropologi.
Namun menurut beberapa pakar sains sosial, antropologi dan sosiologi berbeza dari segi ‘siapa’ yang dikaji. Menurut mereka ini, antropologi akan mengkaji kelompok kecil masyarakat primitif yang biasanya mengamalkan budaya tradisi yang telah diperturunkan dari generasi ke generasi berkurun lamanya. Manakala sosiologi pula mengkaji masyarakat moden atau masyarakat perindustrian.
Walaubagaimanapun, kita dapat lihat, kajian sosiologi juga meliputi masyarakat tradisional yang mana kajian tersebut lebih mengkaji perubahan masyarakat tersebut dari tradisional kepada lebih moden,baru yang dipengaruhi oleh agen-agen tertentu seperti urbanisasi, globalisasi dan modenisasi.
Ahli antropologi biasanya akan turun kelapangan dan mengkaji sesebuah masyarakat atau etnik dengan tinggal dengan masyarakat tersebut dengan satu jangka waktu yang lama sekurang-kurangnya 6 bulan dan boleh menjangkau sehingga bertahun lamanya. Berbeza dengan ahli sosiologi yang meneliti responden dan masyarakat kajian mereka dalam tempoh masa tertentu yang dikatakan agak singkat dalam tempoh beberapa hari,minggu atau beberapa bulan. Bahkan jarang juga penyelidik tinggal terus bersama masyarakat yang mereka kaji, jika adapun tidak begitu lama.
Walaubagaimanapun, Rohana Yusuf(2010) dalam buku beliau Asas Sains Sosial dari perspektif Sosiologi ada menerangkan perbezaaan bidang Antropologi dan Sosiologi dengan ringkas dan mudah. Menurut beliau, kajian bidang sosiologi lebih menumpukan terhadap struktur, fungsi dan proses-proses perubahan dalam masyarakat manusia. Ahli sosiologi melihat kumpulan-kumpulan manusia adalah merupakan unit-unit analisis utama yang diselidik dalam bidang tersebut.
Manakala bidang Antropologi pula memberikan tumpuan terhadap budaya-budaya terutamanya budaya preliterasi dan analisis antara kajian tentang bukti-bukti fizikal untuk memahami perkembangan budaya-budaya prasejarah. Beliau juga menambah bahawa ahli-ahli sosiologi banyak menggunakan angkubah-angkubah budaya dalam data-data kajian ahli antropologi untuk menganalisis struktur-struktur masyarakat.
Dalam bidang sosiologi, terdapat banyak pecahan-pecahan bidang yang boleh dikaji dan pecahan bidang tersebut banyak berhubungan dan bercampur dengan bidang-bidang lain. Contohnya bidang sosiologi industri dan sosiologi organisasi kompleks yang berkait rapat dengan bidang ekonomi, industri, Human resource dan management untuk organisasi. Bidang sosiologi perubatan yang dikaitkan dengan bidang herbalist, medical, folklore, mythology, theology dan lain-lain. Bidang sosiologi alam sekitar yang banyak juga dikaitkan dengan bidang perundangan, hak tanah, human’s rights, ekologi manusia, perhutanan, NGO dan lain-lain. Selain itu, terdapat banyak lagi bidang-bidang sosiologi seperti sosiologi pembangunan, sosiologi pelancongan, sosiologi jenayah dan sosiologi ekonomi dan politik.
Bagi bidang antropologi pula, terdapat 4 pecahan utama dalam bidang tersebut. Iaitu antropologi fizikal, antropologi lingguistik ataupun antropologi bahasa, antropologi budaya dan juga arkeologi. Bidang antropologi fizikal banyak menumpukan bidang genetik, DNA, asal-usul manusia dan evolusi manusia. Bidang ini juga ada yang mengaitkannya dengan ideologi Darwinism tentang hal evolusi dan determinasi manusia.
Bidang antropologi lingguistik atau bahasa pula banyak mengkaji bahasa, dialek, tulisan, sastera rakyat, folklore dan simbol-simbol dalam masyarakat. Bidang-bidang yang berkaitan dengan bidang ini termasuklah bidang Epigrafi iaitu bidang kajian tentang ‘inskription’ bahasa dan tulisan-tulisan kuno dan lama contohnya pada batu bersurat, simbol-simbol dan sebagainya. Bidang Papirologi iaitu kajian kesusasteraan kuno, surat-menyurat, arkib undang-undang masa lampau. Bidang Paleografi. Bidang ini pula mengkaji tulisan purba. Ahli paleografi mentafsir, membaca, dan melakukan pentarihkan manuskrip sejarah, budaya penulisan, dan termasulah dengan kaedah yang bertulis dan buku-buku yang dihasilkan, dan sejarah scriptoria. Bidang Kriptologi/Kriptografi pula meneliti tulisan, bahasa, dan simbol yang tersembunyi, rahsia dan yang perlu dinyahkodkan. Pakar dalam bidang-bidang ini sangat berkurangan terutamanya pakar bidang tulisan bagi etnik yang sudah lenyap dan kebiasaannya hanya ada seorang dua sahaja pakar dalam sesebuah bahasa etnik yang sudah lenyap.
Bidang antropologi budaya yang juga dikenali sebagai bidang etnologi pula ialah bidang yang dianngap core bagi bidang antropologi dimana dalam bidang ini, kesemua perkara berkaitan budaya, adat, tradisi, folklore, kepercayaan, nilai, keperecayaan dan agama dan lain-lain dikaji dan diselidik. Bidang ini termasuklah etnomuzikologi (kajian muzik, alat muzik, tarian, nyanyian, lagu, mantera, puisi, sajak,pantun dll), etnografi(kajian kependudukan dan etnisiti masyarakat sesebuah tempat), antropologi sosial(hampir sama dengan bidang sosiologi), mythology(kajian mengenai mitos dan kepercayaan seperti lagenda, dongeng dan epik), theology(kajian mengenai agama-agama dan kepercayaan manusia) dan lain-lain.
Sebuah lagi bidang iaitu bidang arkeologi dimana bidang ini adalah sebuah bidang meneliti dan mengkaji budaya masyarakat prasejarah melalui artifak-artifak dan tinggalan-tinggalan kuno yang dijumpai. Ahli arkeologi akan mencari artifak tersebut sama ada dengan menggali dikawasan yang dipercayai mempunyai peninggalan tamadun kuno, mencari artifak dan peninggalan kehidupan manusia di dalam gua mahupun artifak didalam air seperti laut, tasik mahupun sungai. Walaubagaimanapun bidang ini masih menjadi isu yang diperdebatkan diperingkat antarabangsa tentang dimana sebenarnya kedudukan bidang arkeologi ini. Ini kerana bidang ini adalah gabungan beberapa bidang termasuklah sejarah, antropologi, geografi dan sains tulen seperti bidang kimia dan biologi. Di Amerika, bidang arkeologi diletakkan dibawah bidang antropologi kerana bidang ini dianggap meneliti budaya masyarakat. Namun di eropah terutamanya di Britain, bidang ini diletakkan dibawah bidang sejarah kerana ia diakatakan mencungkil bukti-bukti sejarah lampau sebelum adanya sistem tulisan. Di Malaysia, sistem pendidikan negara Malaysia banyak diambil dari negara Britain kerana peristiwa kolonisasi dahulu. Jadi bidang arkeologi diletakkan dibawah bidang sejarah. Antara bidang pecahan arkeologi termasuklah arkeologi bawah air (amphibian archaeologist) dimana bidang ini mengkaji tinggalan artifak, struktur binaan dan kapal didalam air seperti laut, tasik dan sungai, arkeologi darat (terrestial), Egyptology, kajian mengenai tamadun purba mesir, Paleontologi (kajian saintifik mengenai kehidupan prasejarah. Ia termasuk kajian fosil untuk menentukan evolusi dan interaksi organisma antara satu sama lain dan persekitaran mereka (paleoecologi). Namun dalam arkeologi lebih menumpukan masyarakat prasejarah)  dan Arkeologi Petroglif.

RUMUSAN

Walaupun terdapat perbezaan dan persamaan dalam ketiga-tiga buah bidang, setiap bidang berkait rapat dan amat memerlukan antara satu sama lain. Contohnya bidang sejarah yang memerlukan bidang antropologi bagi mengenalpasti budaya dan bahasa sesebuah etnik bagi mengkaji sejarah sesebuah etnik. Bidang sejarah juga amat memerlukan bidang sosiologi bagi memahami keteraturan hidup dan kehidupan sosial masyarakat dahulu berdasarkan teori-teori dalam bidang sosiologi. Bidang sosiologi pula amat memerlukan bidang antropologi bagi memahami kebudayaan sesebuah masyarakat sebelum melihatnya dalam konteks yang lebih luas dan dalam dimensi makro. Data-data dari bidang antropologi amat penting bagi bidang sosiologi bagi membina teori-teori sosial. Bidang antropologi pula memerlukan bidang sosiologi bagi memahami perlakuan manusia, perubahan budaya, dan kehidupan sosial masyarakat berdasarkan teori-teori ahli sosiologi. Dan semestinya kedua-dua bidang sosiologi dan antropologi memerlukan bidang sejarah bagi memahami perubahan dan cara hidup masyrakat dahulu untuk memahami masyarakat zaman sekarang. Setiap bidang amat menghormati bidang lain dalam satu keluarga Sains Sosial dan berganding bahu dalam mengkaji rahsia alam manusia yang masih banyak yang belum dirungkai…….

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

BUNIAN - Alam Fantasi?









Dalam mengkaji perkara-perkara ghaib, mistik dan sebagainya, aku tertarik dalam mengkaji makhluk-makhluk ghaib yang dikatakan mempunyai struktur masyarakat tersendiri sama ada sama seperti manusia, hampir sama seperti manusia ataupun berbeza sekali dengan manusia. Oleh itu, mungkinkah ahli-ahli sosiologi dan antropologi boleh mengkaji struktur makhluk-makhluk ini sedangkan kewujudan mereka belum pernah dibuktikan. Malah, kewujudan mereka juga dikatakan tidak boleh dilihat dengan pancaindera manusia biasa. kajian mengenai makhluk-makhluk ini hanya berdasarkan kajian-kajian tradisi lisan, cerita-cerita rakyat dan pengalaman-pengalaman individu yang diperturunkan dari generasi-ke generasi. berikut merupakan sebahagian ciri-ciri makhluk bunian yang ditulis oleh Uncle Seekers dalam buku kajian beliau.
Kepercayaan terhadap bunian adalah sangat popular dalam kalangan masyarakat di negara Malaysia, khususnya bagi masyarakat Melayu dan juga Brunei Sabah. Kepercayaan terhadap bunian ini telah lama wujud dan disampaikan oleh generasi yang terdahulu kepada generasi pada masa kini. Bunian pada asalnya dipercayai merupakan sejenis makhluk halus daripada golongan jin yang dikatakan mirip dengan “elf” dalam lagenda masyarakat barat. Juga dikenali sebagai hantu bunyi-bunyian, bunian dikategori sebagai hantu kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Walaubagaimanapun dikatakan perbuatan atau aktiviti yang dilakukan oleh makhluk bunian ini boleh didengari atau dirasai oleh pancaindera manusia biasa. Antara aktiviti bunian yang sering didengari oleh manusia ialah suara seperti orang yang sedang berzanji, berjanji, bermain kompang, berbual, bergelak ketawa, bunyi periuk belanga atau riuh rendah seperti majlis kenduri sedang berlangsung di dalam hutan atau bunyi-bunyi riak air seperti perahu melalui kawasan sungai atau tasik. Walaubagaimanapun, jika cuba menghampiri atau mencari arah bunyi tersebut, tidak ada kelibat manusia atau haiwan atau apa-apa yang boleh mengeluarkan bunyi-bunyi tersebut di kawasan itu. Fenomena ini lah yang sering dikaitkan dengan bunian (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 7).

Orang bunian juga dikatakan mampu menyesatkan perjalanan atau laluan manusia. Ada juga kejadian menceritakan bunian gemar menculik orang-orang yang mereka minati. Bunian dikatakan mempunyai kuasa yang luar biasa, gemar berkawan dan suka menolong manusia terutamanya pawang atau bomoh. Bunian dikatakan membantu bomoh atau dalam tugas-tugas yang berkaitan dengan rawatan traditional (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 7).

Terdapat juga kisah peralatan atau perkakas perkahwinan seperti periuk, pinggan mangkuk, cerek, talam, talam dan lain-lain perlatan yang dipinjam oleh bomoh daripada bunian yang digunakan dalam upacara kenduri-kendara hendaklah dipulangkan semula dalam keadaan bersih dan sempurna supaya bunian tidak marah. Sekiranya ada kerosakkan, kertakkan atau sompek pada perkakas tersebut, perkakas tersebut hendaklah dipulangkan juga supaya bunian tidak berkecil hati atau merajuk (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 9).

Antara ciri-ciri makhluk ini dipercayai bahawa bunian wujud dalam komuniti atau masyarakat yang besar. Antara kehidupan bunian dengan manusia biasa tidak banyak bezanya. Cuma bunian dikatakan mempunyai kuasa ajaib dan mereka dikatakan mempunyai kuasa ajaib dan mereka tidak dapat dilihat oleh manusia. Mereka juga dikatakan mempunyai barisan pemimpinseperti sultan, permaisuri, orang-orang besar istana, dengan nama dan gelaran tersendiri. Selain hidup bermasyarakat, mereka dipercayai hidup berumah tangga dan kawasan penempatan mereka sama dengan kawasan penempatan manusia. Bunian juga dikatakan menunaikan haji dan mempunyai kenderaan di alam mereka sendiri. Perkara yang membezakan antara bunian dengan manusia biasa ialah dari segi pakaian dimana lelaki dan wanita mereka berpakaian satu warna sahaja walaupun rekaan atau bentuk baju (fesyen) bajunya berbeza-beza (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 9).

Ada pendapat mengatakan bahawa bunian adalah hasil gabungan daripada hubungan sejenis manusia dan jin. Teori lain pula berpendapat bahawa ada kaum yang sangat alim, tetapi lalai dan melakukan perbuatan jahat sehingga melanggar perintah tuhan. Kaum ini disumpah menjadi bunian. Terdapat satu lagi versi yang mendakwa kononnya bunian berasal daripada segolongan manusia yang berdoa kepada Tuhan agar kesujudan mereka tidak dapat dilihat oleh manusia lain. Mereka berasa malu dan rasa bersalah kerana telah menghidangkan daging yang tidak halal kepada seorang ulama. Makanan yang sepatutnya dihidangkan untuk ulama itu sudah habis kerana kehadiran tetamu yang sangat ramai. Dalam keadaan terdesak, mereka terpaksa menyembelih haiwan yang tidak sepatutnya untuk dihidangkan kepadanya (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 10).

Paras rupa serta keadaan fizikal bunian dikatakan sama seperti manusia malah dikatakan lebih cantik dan kacak berbanding manusia biasa. Kaum wanita mereka dikatakan sangat cantik, berkulit putih dan halus, dan semuanya berambut panjang paras pinggang. Manakala kaum lelaki mereka pula bertubuh sasa dan berkulit kuning langsat. Mereka juga mempunyai keluarga, rumah dan hidup bermasyarakat atau perkampungan dengan pelbagai kemudahan seperti yang ada di alam manusia biasa. Kawasan perkampungan mereka diakatakan terletak jauh di dalam hutan atau jauh dari kawasan penempatan manusia. Tulisan bunian juga dikatakan agak unik. Ini kerana mereka menggunakan tulisan jawi purba yang sangat sukar dibaca. Bunian dikatakan gemar bermain kompang pada setiap malam jumaat sekitar jam 2.00 pagi sehingga subuh (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 12).

Selain itu, sebahagian bunian dikatakan tinggal berhampiran dengan penempatan manusia atau dalam rumah manusia biasa. Kejadian-kejadian pelik seperti bau nasi hangit atau menggelegak yang sangat kuat baunya atau buaian bayi berbuai dengan dendiri sering dikaitkan dengan manusia yang terpaksa berkongsi rumah dengan bunian. Bunian juga dikatakan gemar meminjam buaian yang terletak di halaman rumah manusia sekiranya kawasan penempatan bunian tersebut berdekatan dengan perkampungan manusia (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 12).

Kejadian perempuan yang kehilangan janin (bayi) di dalam rahim semasa hamil sewaktu tidur turut dikaitkan dengan bunian mengambil janin (bayi) tersebut. Sebelum kehilangan itu disedari, mereka didakwa bermimpi didatangi orang tua yang memminta bayi itu di dalam kandungan itu diserahkan kepadanya. Apabila sedar dari mimpi (terjaga), perut wanita tersebut menjadi kempis secara tiba-tiba dan bayi di dalam kandungannya disahkan hilang apabila diperiksa doktor (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 13).

Kain baju dan selimut milik manusia biasa amat digemari bunian dan ada juga diantara mereka yang sanggup mengambilnya. Sekiranya barangan tersebut dikembalikan, barang-barang tersebut akan berbau sangat busuk biarpun dicuci berulang kali. Sehingga kini, tiada siapa tahu sebab bunian suka pada pakaian dan selimut manusia (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 12).

Ada pendapat menyatakan bahawa sesetengah bunian yang mempelajari ilmu tertentu mampu menzahirkan diri mereka seperti manusia biasa seperti juga manusia biasa yang memiliki ilmu tertentu untuk melihat atau memasuki alam bunian. Sesetengah pendapat juga mengatakan bahawa terdapat segelintir kanak-kanak yang mampu melihat alam bunian disebabkan mereka masih suci. Perkara ini disangkal oleh sesetengah pihak yang lain yang mendakwa bahawa tubuh kanak-kanak tersebut telah ditumpangi bunian sehinggakan mereka mampu melihat bunian (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 12).

 Alam bunian dikatakan amat tenang dan cuacanya sentiasa redup. Peredaran masa di alam bunian dikatakan sangat berbeza dengan dunia sebenar. Sehari di alam bunian bersamaan seminggu, sebulan atau 10 tahun di alam manusia. Seringkali terjadi apabila seseorang manusia dibawa masuk ke alam bunian untuk beberapa lama dan kemudian kembali ke alam nyata, banyak perubahan berlaku akibat perbezaan masa itu (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 13).



Ada juga mengatakan bahawa ada lelaki atau wanita yang berkahwin dengan bunian dan mendapat zuriat. Ada yang mengikut pasangan mereka tinggal di alam bunian dan ada juga terus menetap di alam nyata namun hanya orang yang berkahwin dengan bunian sahaja yang dappat melihat pasangannya serta anak-anak hasil perkahwinan itu. Manusia lain hanya dapat mendengar perbualan atau senda gurau merek di luar rumah. Manusia yang berkahwin dengan bunia dipercayai dikurniakan kuasa ajaib. Kononnya sekiranya seseorang tinggal di alam bunian, orang tersebut tidak dibenarkan balik ke alam asal (manusia) (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 14).

Dalam beberapa kajian lain di eropah, makhluk bunian dikatakan tergolong dalam jenis-jenis manusia ghaib atau hidden people. Antara makhluk lain yang digolongkan dalam hidden people termasuklah pari-pari, elf, gnomes dan lain-lain. Malah dikatakan mermaid atau duyung juga dikatakan sebahagian dari golongan tersebut. Kajian-kajian berkaitan makhluk ini boleh diperolehi dalam kajian-kajian agam dan kepercayaan atau Theologi, kajian-kajian makhluk mitos atau Mythology, kajian-kajian sastera yang mengkaji tradisi rakyat mengenai makhluk mitos, kajian Antropologi, kajian haiwan-haiwa mitos dan pelik iaiatu Cryptozoology, Folklorist yang mengkaji kedua-duanya sastera dan budaya, kajian minda manusia iaitu Parapsychology, dan lain-lain.

Diharap coretan dan tulisan ini dapat dijadikan pedoman, menambahkan ilmu mahupun dijadikan perdebatan dan perbincangan secara sihat dikalangan pencinta-pencinta ilmu...


Abdullah Hussien Alattas. 2008. 99 Jelmaan Makhluk Halus : Hantu Tenggelung, Hantu Kubur, Orang bunian, Penanggal, Jin Islam, Hantu Bujang Sembelih. Batu Caves: Team PSI Production

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS