BUDAYA VS SUB-BUDAYA
(CULTURE VS SUBCULTURE)
Kali ini kita berbincang tentang budaya dan sub-budaya atau subculture. Perbincangan ini bukanlah untuk merendahkan mana-mana pihak, namun untuk mengkaji dan mengenali manusia yang kepelbagaian ideologi dan cara hidup.
BUDAYA
Sebelum kita berbincang lebih lanjut sub-budaya, mari kita memahami maksud budaya itu sendiri. Sesetengah pihak menggunakan terma 'budaya' untuk mendifinisikan aktiviti dan cara hidup masyarakat tradisional seperti tarian, pakaian ataupun makanan. Pengertian ini sebenarnya terlalu sempit sedangkan budaya itu sendiri membawa maksud keseluruhan cara hidup manusia tidak kira moden mahupun tradisional. Budaya dalam Bahasa Inggeris ialah culture yang dipinjam dari Bahasa Latin, cultura. Budaya membawa dua kata iaitu Budi dan Daya. Bu membawa erti asli, pertama, sejati dan dipandang sempurna, menyenangkan dan dipandang mulia. Manakala Daya mengandungi maksud akal, jalan fikiran, ciptaan, bikinan dan sebagainya (Asmad, 1990).
Tylor (1871) pula merujuk budaya sebagai "satu keseluruhan kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan kebolehan-kebolehan lain, serta biasanya yang dimiliki manusia sebagai anggota masyarakatnya".
Antara ciri-ciri kebudayaan termasuklah :-
- Berubah
- Boleh Dipelajari
- Dikongsi Bersama
- Mempunyai Nilai Intergratif
Terdapat 3 Komponen utama dalam kebudayaan iaitu :-
Komponen Kognitif
Merujuk kepada keseluruhan pemikiran dan ideologi ahli masyarakat termasuklah simbol, bahasa, nilai dan kepercayaan.
Komponen Normatif
Normatif pula adalah elemen yang berbentuk norma sosial masyarakat. Peraturan yang mengatur hidup masyarakat agar kehidupan mereka lebih tersusun dan berjalan lancar dari hari ke hari. Hal ini merangkumi Folk-Ways dan Mores.
Komponen Kebendaan
Komponen ini lebih bersifat material seperti artifak, kejuruteraan, teknologi dan sebagainya.
Antara Kebudayaan yang wujud termasuklah Budaya Malaysia, Budaya Melayu, Budaya Inggeris, Budaya Amarika dan lain-lain.
SUB-BUDAYA
Penelitian terhadap sub-budaya pula, menurut perspektif sains sosial. Menurut Norazit Selat (1993), Sub-Budaya atau Sub-Kebudayaan merupakan kepercayaan, perspektif atau ideologi yang dipinjam sama ada bentuk, atau isinya dari satu kebudayaan yang teras. Sub-budaya merupakan satu cara hidup sesebuah kumpulan yang boleh dilihat dan dikenal pasti dengan jelas yang berbeza dengan budaya dan sub-budaya yang lain. Ia merupakan sebahagian budaya yang lebih besar. perbezaaan ini termasuk dari segi bahasa, adat resam, fesyen atau cara berpakaian, norma, ideologi dan lain-lain lagi.
Menurut Rohana Yusof (2010) dalam bukunya "Asas Sains Sosial Dari Perspektif Sosiologi" ada menerangkan bahawa sub-budaya dimana hampir semua masyarakat terdapat beberapa kelompok kecil yang mempunyai tradisi dan nilai kebudayaan yang berlainan. Norma yang membezakan satu kelompok kecil dan masyarakat yang lebih besar ini lah yang disebut sub-budaya atau kebudayaan kecil. Perbezaan ini berpunca dari segi kelas sosial, latar belakang etnik, agama, kawasan tempat tinggal, pekerjaan dan lain-lain. Nilai yang wujud dalam sub-budaya ini yang menjadi sebahagian personaliti ahli kumpulan tersebut. Sub-budaya tidak bermaksud menolak budaya utama, cuma ianya agak menyeleweng dan sedikit berbeza dari arus utama budaya asal. Malah Sub-Budaya banyak timbul dalam dunia gangster dan mafia di seluruh dunia.
Antara contoh sub-budaya yang berpengaruh termasuklah Skinhead, Punk, Ideologi Nazi, Ideologi Anti-Rasis, Ideologi Anarchy, Rudeboy, Kongsi gelap (China dan Asia), Mafia (Eropah dan Amarika), Yakuza (Jepun), Otaku, Teddy boys, Raver dan Hipster, dan lain-lain.
BIDANG - BIDANG BERKAITAN KEBUDAYAAN
Bidang yang mengkaji perihal budaya dan sub-budaya ini sangat banyak. Antara core atau bidang utama yang mengkaji perihal kebudayaan ialah bidang Antropologi. Bidang yang terpecah kepada pecahan antropologi linguistik atau bahasa, antropologi sosial atau antropologi budaya (etnologi), antropologi fizikal dan arkeologi. Bidang ini mengkaji seluruh kehidupan manusia secara hampir total, dimana setiap aspek manusia termasuklah kebudayaan diselidik dengan mendalam. Dapat kita lihat bagaimana jati diri manusia, nilai, norma, ideologi,cara hidup, adat resam, agama dan kepercayaam, ekonomi, bahasa, fesyen dan pakaian, politik dan sebagainya yang berkaitan budaya dikaji dengan baik.
Sosiologi yang merupakan bidang yang bersaudara dengan bidang antropologi juga amat penting dalam mengkaji kebudayaan seperti perubahan atau angkubah-angkubah yang merubah budaya manusia dari tradisional ke budaya moden. Menyelidik budaya-budaya moden, aktiviti ekonomi dan politik manusia, nilai dan norma masyarakat urban dan lain-lain.
Bidang Kesenian juga merangkumi sebahagian besar kebudayaan. kita dapat lihat, budaya dan seni berkait rapat sama ada dari segi muzik, seni tari, seni ukir dan seni bina, kesenian pada pakaian, lagu-lagu rakyat,muzik-muzik moden dan sebagainya. Bidang seni menyelidik, menyimpan dan menjaga seni-seni tradisi disamping mewujudkan bidang-bidang seni moden dalam masyarakat urban.
Bidang Sejarah juga mengkaji kebudayaan lama untuk memahami sejarah dengan lebih mendalam. Berbeza dengan aliran sejarah Objektif yang lebih menekankan fakta dan peristiwa sejarah itu sendiri, Bidang sejarah yang beraliran Subjektif cuba merungkai dan menyelidik kebenaran peristiwa sejarah dengan mengkaji kebudayaan manusia dalam time period atau tempoh waktu peristiwa sejarah tersebut.
Ekonomi dan Keusahawanan merupakan antara bidang yang mengkaji kebudayaan manusia yang berkaitan dengan sara hidup masyarakat, pekerjaan, industri, kebudayaan manusia dari segi majikan dan pekerjaan, permintaan dan penawaran produk hasil latar belakang masyarakat dan sebagainya.
Sains Politik pula bidang yang menumpukan kebudayaan manusia dari sgi pentadbiran, politik, isu-isu semasa, kepimpinan, suara rakyat, kuasa pemerintah, jenis-jenis pemerintah dan sebagainya.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, Budaya dan Sub-Budaya merupakan satu cara hidup yang dicipta manusia, yang berbeza diantara satu sama lain yang dipengaruhi oleh minat, latar belakang manusia, kepercayaan, kawasan tempat tinggal dan sebagainya. Walaupun terdapat perbezaan ideologi dan cara hidup, tidak semua perbezaan ini menjadi punca pertelingkahan, malah ia mungkin menjadi faktor kerjasama antara kelompok manusia.
Norazit Selat (1993) Konsep Asas Antropologi
Rohana Yusof (2010) Asas Sains Sosial Dari Perspektif Sosiologi
0 comments:
Post a Comment