PERBEZAAN BIDANG ANTROPOLOGI, SOSIOLOGI DAN SEJARAH

PERBEZAAN BIDANG ANTROPOLOGI, SOSIOLOGI DAN SEJARAH
Dalam bidang sains sosial, terdapat beberapa bidang dibawahnya yang mengkaji dan meneliti manusia dari pelbagai aspek. Antaranya termasukah bidang antropologi, geografi, sejarah, sosiologi dan hubungan antarabangsa. Dalam coretan kali ini, kita akan cuba mengenal perbezaan antropologi, sosiologi dan sejarah. Ketiga-tiga bidang ini dikatakan sangat berkait rapat malah setiap bidangnya memerlukan satu sama lain bagi mengukuhkan kajian dalam bidang masing-masing.

SEJARAH
Disebabkan saya tidak berada dalam bidang sejarah,saya kurang arif tentang keseluruhan apa itu sejarah, namun saya akan cuba berdasarkan pengalaman belajar dalam bidang sejarah dari tingkatan 1 sehingga tingakatan 6 atas dan beberapa subjek elektif sejarah di UMS seperti subjek Sejarah Malaysia Sebelum Merdeka dan subjek Pengantar Ilmu Sejarah. Dalam kehidupan seharian, kita sering kali mendengar istilah "sejarah" ini diucapkan oleh orang ramai. Ya, orang selalu berkata; "Sejarah telah mengajar kita" atau "anda lupa sejarah" atau "dalam sejarah hidup saya belum pernah saya mengalami perkara yang sepelik ini". Maka, apakah yang dimaksud dengan kata atau istilah "sejarah" ini? Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah "sejarah" bermaksud tiga perkara utama;
1. Sastera lama, asal usul (keturunan), salasilah;
2. Peristiwa yang benar-benar berlaku di waktu yang lampau, kisah riwayat, tambo, dan;
3. Ilmu sejarah, kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa yang telah berlalu, tawarikh.
Di peringkat universiti, kita akan mengetahui dan mula sedar bahawa sejarah di peringkat universiti agak berbeza dengan sejarah yang dipelajari di peringkat sekolah. Di sekolah, kita mengetahui bahawa secara umumnya dalam bidang sejarah terdapat 4 perkara utama iaitu ekonomi, politik, sosial dan peristiwa sejarah. Dalam ekonomi,kita akan mengkaji cara manusia dahulu mendapatkan sumber makanan, mencari rezeki, sama ada dengan berniaga, bercucuk tanam, memburu, meramu, sistem barter dan sebagainya. Dalam bidang politik pula kita akan mengkaji corak politik secara asas seperti sistem beraja berpelembagaan, kepimpinan tokoh-tokoh, kepimpinan ketenteraan, dan lain-lain. Manakala dalam bidang sosial pula lebih luas apabila kita akan belajar tentang cara hidup manusia, budaya, adat, agama dan sistem kepercayaan, bahasa dan lain-lain. Peristiwa sejarah pula adalah perkara yang penting apabila pelajar sejarah akan diasah untuk mengingati dan memahami peristiwa-peristiwa sejarah yang penting seperti kemerdekaan Malaysia, perang-perang utama, tokoh-tokoh utama dan lain-lain.
Walaubagaimanapun, diperingkat universiti, pelajar akan ditekankan dengan peristiwa-peristiwa sejarah berdasarkan kronologi, punca peristiwa, kesan peristiwa dan sebagainya. Ianya dikaitkan dengan sejarah yang beraliran objektif yang mendukung bahawa sejarah yang ditulis adalah yang sebenar-benarnya yang terpisah dari penulis atau pengkaji sejarah atau sejarawan dan tanpa perlu dikritik, ditafsir dan lain-lain. Manakala bagi sejarawan yang beraliran subjektif pula cuba mengubah bidang sejarah supaya lebih terbuka. Dalam aliran ini, sejarah yang ditulis boleh dikritik, dipertikai, ditafsir berdasarkan ilmu yang ada pada seseorang sejarawan, kajian yang dilakukan dengan lebih terperinci, kajian lanjutan atau kajian perbandingan sejarah yang akhirnya mendorong dalam menghasilkan istilah ‘sentrik’ di mana sejarawan akan menulis fakta sejarah berdasarkan kepentingan, atau semangat nasional sejarawan tersebut contohnya Malaysia-centric atau euro-centric. Walaubagaimanapun tidak semua sejarawan di aliran subjektif adalah sentrik. Manakala 3 perkara lain seperti ekonomi, politik dan sosial dalam kajian sejarah adalah bagi memahami lebih mendalam dan menjawab persoalan-persoalan tentang peristiwa sejarah yang berlaku seperti mengapa perang salib tercetus? Mengapa orang Melayu Islam menentang komunis? Dan lain-lain. Kronologi dalam bidang sejarah amat penting bagi menyusun peristiwa-peristiwa yang berlaku secara teratur dan baik. Terdapat beberapa subjek sejarah yang saya senaraikan yang berada didalam bidang sejarah temasuklah Sejarah Malaysia, Sejarah Asia, Sejarah Eropah, Sejarah Timur Tengah, Sejarah Amarika, Museology(kajian mengenai pengurusan, penjagaan dan penubuhan muzium, arkib dan tapak-tapak warisan) dan lain-lain. Bidang pekerjaan yang berkaitan dengan sejarah yang boleh diambil oleh pelajar jurusan sejarah termasuklah pekerja arkib, pekerja muzium dan kurator, ahli arkeologi, ahli sejarawan dan pensyarah sejarah. Setakat itu sahaja perbincangan kita mengenai sejarah dahulu. Saya memohon maaf jika ilmu yang disampaikan ini kurang tepat kerana saya bukan dari bidang sejarah.

ANTROPOLOGI & SOSIOLOGI
Kedua-dua bidang tersebut saya gabungkan agar kita dapat mencari persamaan dan perbezaan secara terus. Kedua-dua bidang tersebut pada asasnya mengkaji manusia dan perilakunya secara luaran. Berbeza dengan bidang perubatan yang mengkaji tubuh manusia, dan berbeza juga dengan bidang psikologi dan kaunseling yang mengkaji manusia secara dalaman atau mengkaji tingkah laku manusia dengan cara pemikiran atau minda manusia termasuklah emosi.
Bidang Sosiologi dan antropologi cuba mengkaji  kebudayaan manusia, agama dan kepercayaan manusia, cara manusia berhubung, cara manusia bersosial antara satu dengan yang lain, mengkaji bahasa-bahasa manusia sama ada bahasa lisan, bahasa isyarat mahupun simbol-simbol atau tulisan. Umumnya, kedua-dua bidang ini cuba mengkaji keseluruhan berkaitan manusia.
Bagi pelajar bidang ini sendiri, mereka sudah pasti boleh mengenal perbezaan diantara kedua-dua bidang ini. Namun bagi pelajar lepasan STPM mahupun diploma atau matrik yang baru mendapat tawaran dalam bidang ini, pastinya tertanya-tanya, apakah perbezaan diantara kedua-dua bidang ini? Malah, pelajar dalam bidang ini sendiri kadang kala keliru diantara kedua-dua bidang ini. Pelajar bidang ini kebanyakkan menggunakan perbezaan jenis kajian untuk melihat perbezan bidang ini seperti tajuk kajian, adanya teori mahupun konsep atau apa/siapa yang dikaji. Biasanya tajuk kajian yang mempunyai ‘perubahan’ akan dikaikan dengan bidang sosiologi. Kajian yang mempunyai tajuk ‘kepercayaan’, ‘adat’, ‘budaya’ pula dikaitkan dengan bidang antropologi. Kajian yang menggunakan teori juga dikaitkan dengan bidang sosiologi, manakala bidang yang menggunakan konsep semata-mata pula dikaitkan dengan bidang antropologi. Selain itu, pelajar juga akan melihat jenis kajian untuk mengetahui bidang mana kajian tersebut berada. Kajian-kajain seperti homestay, perkilangan, pekerjaan, industri, ekonomi dan politik dianggap kajian yang bersifat sosiologi. Manakala kajian seperti budaya, bahasa, agama, tradisi, kepercayaan, ritual dan adat pula lebih dikaitkan dengan bidang antropologi.
Namun menurut beberapa pakar sains sosial, antropologi dan sosiologi berbeza dari segi ‘siapa’ yang dikaji. Menurut mereka ini, antropologi akan mengkaji kelompok kecil masyarakat primitif yang biasanya mengamalkan budaya tradisi yang telah diperturunkan dari generasi ke generasi berkurun lamanya. Manakala sosiologi pula mengkaji masyarakat moden atau masyarakat perindustrian.
Walaubagaimanapun, kita dapat lihat, kajian sosiologi juga meliputi masyarakat tradisional yang mana kajian tersebut lebih mengkaji perubahan masyarakat tersebut dari tradisional kepada lebih moden,baru yang dipengaruhi oleh agen-agen tertentu seperti urbanisasi, globalisasi dan modenisasi.
Ahli antropologi biasanya akan turun kelapangan dan mengkaji sesebuah masyarakat atau etnik dengan tinggal dengan masyarakat tersebut dengan satu jangka waktu yang lama sekurang-kurangnya 6 bulan dan boleh menjangkau sehingga bertahun lamanya. Berbeza dengan ahli sosiologi yang meneliti responden dan masyarakat kajian mereka dalam tempoh masa tertentu yang dikatakan agak singkat dalam tempoh beberapa hari,minggu atau beberapa bulan. Bahkan jarang juga penyelidik tinggal terus bersama masyarakat yang mereka kaji, jika adapun tidak begitu lama.
Walaubagaimanapun, Rohana Yusuf(2010) dalam buku beliau Asas Sains Sosial dari perspektif Sosiologi ada menerangkan perbezaaan bidang Antropologi dan Sosiologi dengan ringkas dan mudah. Menurut beliau, kajian bidang sosiologi lebih menumpukan terhadap struktur, fungsi dan proses-proses perubahan dalam masyarakat manusia. Ahli sosiologi melihat kumpulan-kumpulan manusia adalah merupakan unit-unit analisis utama yang diselidik dalam bidang tersebut.
Manakala bidang Antropologi pula memberikan tumpuan terhadap budaya-budaya terutamanya budaya preliterasi dan analisis antara kajian tentang bukti-bukti fizikal untuk memahami perkembangan budaya-budaya prasejarah. Beliau juga menambah bahawa ahli-ahli sosiologi banyak menggunakan angkubah-angkubah budaya dalam data-data kajian ahli antropologi untuk menganalisis struktur-struktur masyarakat.
Dalam bidang sosiologi, terdapat banyak pecahan-pecahan bidang yang boleh dikaji dan pecahan bidang tersebut banyak berhubungan dan bercampur dengan bidang-bidang lain. Contohnya bidang sosiologi industri dan sosiologi organisasi kompleks yang berkait rapat dengan bidang ekonomi, industri, Human resource dan management untuk organisasi. Bidang sosiologi perubatan yang dikaitkan dengan bidang herbalist, medical, folklore, mythology, theology dan lain-lain. Bidang sosiologi alam sekitar yang banyak juga dikaitkan dengan bidang perundangan, hak tanah, human’s rights, ekologi manusia, perhutanan, NGO dan lain-lain. Selain itu, terdapat banyak lagi bidang-bidang sosiologi seperti sosiologi pembangunan, sosiologi pelancongan, sosiologi jenayah dan sosiologi ekonomi dan politik.
Bagi bidang antropologi pula, terdapat 4 pecahan utama dalam bidang tersebut. Iaitu antropologi fizikal, antropologi lingguistik ataupun antropologi bahasa, antropologi budaya dan juga arkeologi. Bidang antropologi fizikal banyak menumpukan bidang genetik, DNA, asal-usul manusia dan evolusi manusia. Bidang ini juga ada yang mengaitkannya dengan ideologi Darwinism tentang hal evolusi dan determinasi manusia.
Bidang antropologi lingguistik atau bahasa pula banyak mengkaji bahasa, dialek, tulisan, sastera rakyat, folklore dan simbol-simbol dalam masyarakat. Bidang-bidang yang berkaitan dengan bidang ini termasuklah bidang Epigrafi iaitu bidang kajian tentang ‘inskription’ bahasa dan tulisan-tulisan kuno dan lama contohnya pada batu bersurat, simbol-simbol dan sebagainya. Bidang Papirologi iaitu kajian kesusasteraan kuno, surat-menyurat, arkib undang-undang masa lampau. Bidang Paleografi. Bidang ini pula mengkaji tulisan purba. Ahli paleografi mentafsir, membaca, dan melakukan pentarihkan manuskrip sejarah, budaya penulisan, dan termasulah dengan kaedah yang bertulis dan buku-buku yang dihasilkan, dan sejarah scriptoria. Bidang Kriptologi/Kriptografi pula meneliti tulisan, bahasa, dan simbol yang tersembunyi, rahsia dan yang perlu dinyahkodkan. Pakar dalam bidang-bidang ini sangat berkurangan terutamanya pakar bidang tulisan bagi etnik yang sudah lenyap dan kebiasaannya hanya ada seorang dua sahaja pakar dalam sesebuah bahasa etnik yang sudah lenyap.
Bidang antropologi budaya yang juga dikenali sebagai bidang etnologi pula ialah bidang yang dianngap core bagi bidang antropologi dimana dalam bidang ini, kesemua perkara berkaitan budaya, adat, tradisi, folklore, kepercayaan, nilai, keperecayaan dan agama dan lain-lain dikaji dan diselidik. Bidang ini termasuklah etnomuzikologi (kajian muzik, alat muzik, tarian, nyanyian, lagu, mantera, puisi, sajak,pantun dll), etnografi(kajian kependudukan dan etnisiti masyarakat sesebuah tempat), antropologi sosial(hampir sama dengan bidang sosiologi), mythology(kajian mengenai mitos dan kepercayaan seperti lagenda, dongeng dan epik), theology(kajian mengenai agama-agama dan kepercayaan manusia) dan lain-lain.
Sebuah lagi bidang iaitu bidang arkeologi dimana bidang ini adalah sebuah bidang meneliti dan mengkaji budaya masyarakat prasejarah melalui artifak-artifak dan tinggalan-tinggalan kuno yang dijumpai. Ahli arkeologi akan mencari artifak tersebut sama ada dengan menggali dikawasan yang dipercayai mempunyai peninggalan tamadun kuno, mencari artifak dan peninggalan kehidupan manusia di dalam gua mahupun artifak didalam air seperti laut, tasik mahupun sungai. Walaubagaimanapun bidang ini masih menjadi isu yang diperdebatkan diperingkat antarabangsa tentang dimana sebenarnya kedudukan bidang arkeologi ini. Ini kerana bidang ini adalah gabungan beberapa bidang termasuklah sejarah, antropologi, geografi dan sains tulen seperti bidang kimia dan biologi. Di Amerika, bidang arkeologi diletakkan dibawah bidang antropologi kerana bidang ini dianggap meneliti budaya masyarakat. Namun di eropah terutamanya di Britain, bidang ini diletakkan dibawah bidang sejarah kerana ia diakatakan mencungkil bukti-bukti sejarah lampau sebelum adanya sistem tulisan. Di Malaysia, sistem pendidikan negara Malaysia banyak diambil dari negara Britain kerana peristiwa kolonisasi dahulu. Jadi bidang arkeologi diletakkan dibawah bidang sejarah. Antara bidang pecahan arkeologi termasuklah arkeologi bawah air (amphibian archaeologist) dimana bidang ini mengkaji tinggalan artifak, struktur binaan dan kapal didalam air seperti laut, tasik dan sungai, arkeologi darat (terrestial), Egyptology, kajian mengenai tamadun purba mesir, Paleontologi (kajian saintifik mengenai kehidupan prasejarah. Ia termasuk kajian fosil untuk menentukan evolusi dan interaksi organisma antara satu sama lain dan persekitaran mereka (paleoecologi). Namun dalam arkeologi lebih menumpukan masyarakat prasejarah)  dan Arkeologi Petroglif.

RUMUSAN

Walaupun terdapat perbezaan dan persamaan dalam ketiga-tiga buah bidang, setiap bidang berkait rapat dan amat memerlukan antara satu sama lain. Contohnya bidang sejarah yang memerlukan bidang antropologi bagi mengenalpasti budaya dan bahasa sesebuah etnik bagi mengkaji sejarah sesebuah etnik. Bidang sejarah juga amat memerlukan bidang sosiologi bagi memahami keteraturan hidup dan kehidupan sosial masyarakat dahulu berdasarkan teori-teori dalam bidang sosiologi. Bidang sosiologi pula amat memerlukan bidang antropologi bagi memahami kebudayaan sesebuah masyarakat sebelum melihatnya dalam konteks yang lebih luas dan dalam dimensi makro. Data-data dari bidang antropologi amat penting bagi bidang sosiologi bagi membina teori-teori sosial. Bidang antropologi pula memerlukan bidang sosiologi bagi memahami perlakuan manusia, perubahan budaya, dan kehidupan sosial masyarakat berdasarkan teori-teori ahli sosiologi. Dan semestinya kedua-dua bidang sosiologi dan antropologi memerlukan bidang sejarah bagi memahami perubahan dan cara hidup masyrakat dahulu untuk memahami masyarakat zaman sekarang. Setiap bidang amat menghormati bidang lain dalam satu keluarga Sains Sosial dan berganding bahu dalam mengkaji rahsia alam manusia yang masih banyak yang belum dirungkai…….

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

3 comments:

saff abdul said...

great information!

saff abdul said...

great information!

Hambali Ramlee said...

Thank you N.E.E.T.A

Post a Comment