SEMPORNA – DUNIA SYURGA PARA PELAUT

SEMPORNA – DUNIA SYURGA PARA PELAUT





Dalam kembara di Bumi Di Bawah Bayu kali ini, kakiku melangkah ke sebuah daerah dikenali sebagai Semporna. Perjalanan menaiki bas dari Kota Kinabalu ke Semporna mengambil masa hampir 9 jam merentasi belantara kuno Sabah melalui tepian-tepian rimba agung Maliau Basin dan kaki gunung lagenda Gunung Kinabalu yang masih belum dicabul tangan-tangan rakus manusia. Perjalanan malam hari dibuai gelodak jalan-jalan berlubang dan liku-liku yang kadang-kala menyukarkan mata ini untuk terlelap membuat diriku banyak berfikir tentang hidup dan kehidupan walaupun kadang-kadang terhangguk-hangguk dek keletihan.

Akhirnya hampir 9 jam bertarung dengan jalan, diriku serta beberapa rakan sampai di daerah Semporna dalam jam 5 pagi. Kami dibawa oleh saudara rakanku ke rumah rakanku untuk berehat sebelum memulakan pengembaraan menyusuri daerah ini. Misi kajianku kali ini adalah untuk mengkaji cabaran dan faktor migrant-migrant dari Filipina yang berhijrah ke Sabah demi memulakan hidup baru.

Perjalanan bermula dengan menaiki prebet sapu dari Kg Batu dua ke pekan Semporna. Kami melangkah di celah-celah campuran masyarakat yang sudah biasa dengan hidup di laut seperti Bajau Laut, Bajau Kubang, Sulu dan beberapa masyarakat lain yang ada di sini. Penduduk asal Semporna menurut orang tua di sini merupakan masyarakat Bajau Kubang. Bajau Kubang ini tinggal di darat dan mencari rezeki di laut. Berbeza dengan saudara mereka yang paling hampir iaitu Bajau Laut yang menjadikan bot, sampan dan kapal sebagai rumah mereka dan laut adalah kediaman mereka. Masyarakat Sulu juga merupakan golongan yang tidak terkecuali hebat di lautan namun masih menjadikan tanah besar dan pulau sebagai rumah. Masyarakat Sulu pula dikatakan berhijrah dari Filipina namun penghijrahan mereka bermula sejak sekian lama dahulu, malah ada yang sudah beratus dan bergenerasi lamanya tinggal di Sabah dan Semporna khususnya. Berbeza pula dengan masyarakat Bajau Laut yang unik, mereka tinggal di sekitar lautan Sulu yang merupakan sempadan antara Malaysia, Filipina dan lautan lepas. Jadi PBB telah mengizinkan mereka untuk terus belayar merentas sempadan politik demi menghormati adat yang telah mereka jalani berkurun lamanya.

Semporna merupakan salah satu daerah dan kawasan yang hampir dengan sempadan Filipina selain dari Sandakan, Lahad Datu dan Kudat. Kawasannya yang berada dipinggir pantai menjadikan masyarakatnya rapat dengan laut. Malah, kewujudan berpuluh-puluh pulau-pulau kecil di sekitar lautan Semporna menjadikan lautannya sering dikunjungi. Namun yang paling menjadi tumpuan adalah beberapa pulau yang diiktiraf antara pulau-pulau tercantik di dunia seperti Pulau Sipadan, Mabul dan Buhey Dulang. Kejernihan air lautnya yang berwarna biru, hijau, cyan, turquoise dan aqua memberikan satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Walaupun dibahagian jeti di belakang pasar mereka dipenuhi sampah yang dikatakan dari laut dan darat, namun ia tidak mencacatkan keindahan lautnya.

Dihadapan pekan Semporna menghadap ke laut merupakan sebuah pulau yang agak besar dipanggil pulau Bum-Bum yang mempunyai ramai penduduk. Dari tanah besar semporna ke pulau Bum-Bum mengambil masa lebih kurang 5-10 minit menaiki bot. Dasar airnya yang tidak terlalu dalam dan jernih memudahkan kita mengintai dasar laut semporna yang indah. Dalam perjalanan ke pulau tersebut, kita boleh melihat bot-bot kecil, bot-bot layar, bot nelayan dan bot pelancong berderum-derum merentasi lautan tersebut.  

Di pulau Bum-Bum, kami bermalam di kampung Look Butun untuk meneruskan kajian kami mengenai migrant disitu. Kebanyakkan migrant masih belum mempunyai dokumen yang lengkap, kebanyakkan mereka masih memohon IC merah dan mereka masih menggunakan Worldpass dimana ianya masih boleh digunakan cuma perlu diperbaharui. Kebanyakkan migrant yang kami kaji adalah dari etnik Sulu yang bermigrasi dari Filipina atas faktor mencari rezeki dan melarikan diri dari kekacauan di Kampung halaman. Di Sabah,mereka boleh mencari rezeki dengan tenang dan hidup lebih baik. Kebanykkan responden yang kami kaji menjadikan pengusahaan dan penjualan rumpai laut sebagai sumber mata pencarian utama selain menangkap ikan dan membuat serta membaiki perahu dan alatan menangkap ikan seperti jala dan pukat. Kebanyakkan mereka mendirikan rumah ditengah laut dikenali sebagai pondoan. Setiap pondoan mempunyai sekitar 3-8 buah rumah berasingan yang disanbung dengan titi kecil. Rumah-rumah kasyu ini dibina sendiri dengan bantuan keluarga dan kenalan. Untuk sampai ke mana-mana pondoan tidak lain tidak bukan adalah melalui laut dengan menggunakan bot dan perahu. Mereka membina rumah di tengah laut bagi memudahkan mereka mengutip hasil rumpai laut yang mereka tuai sebelum ini.


Walaupun pada pandangan orang luar mereka Nampak daif dan susah, namun jika dikaji dengan dekat, mereka hidup dengan gembira dan tenang. Ada yang sudah bergenerasi lamanya tinggal disitu dan ada pula yang baru sahaja bermigrasi dari Filipina beberapa puluh tahun lalu. Namun kebanyakkan mereka memiliki dokumen sah seperti dokumen Worldpass untuk tinggal disitu.

Dalam mengkaji isu dokumen ini, kebanyakkan rakyat Malaysia terutamanya rakyat semenanjung masih belum faham tentang isu pemberian IC oleh mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Bagi sesetengah orang, ia umpama menjual maruah negara dengan memberi kerakyatan negara kepada warga asing. Namun sedarkah kita, bahawa masyarakat ini Seperti Kaum Bajau dan Sulu telah lama tinggal di Sabah, Filipina dan perairan diantaranya. Namun dengan kemunculan negara baru yang membina sempadan politik iaitu sempadan Filipina dan Malaysia seolah-olah kita membelah kawasan kediaman mereka kepada dua. Ini tidak adil bagi masyarakat tersebut yang sudah berkurun lamanya menjadikan pulau-pulau dan lautan tersebut sebagai kediaman mereka dan mereka sekian lama hidup berpindah randah dari pulau ke pulau dan tinggal di dalam sampan di lautan. Jadi bagi mengurangkan masalah tersebut, inisiatif telah diambil bagi mengkaji dan meneliti serta membanci masyarakat ini dan memberikannya IC bagi yang layak.

Setelah selesai kajian yang dijalankan, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Mabul. Menaiki bot laju yang enjinnya berkekuatan 250cc menjadikan perjalanan hampir sejam dari Jeti Semporna. Kami dapat melihat pulau-pulau dan lautan yang begitu memukau pandangan. Sesampainya kami di Mabul, selepas makan kami mula berjalan dan meninjau di kawasan resort sebelum melangkah pula ke perkampungan Bajau Laut. Telah dibina tempok tinggi diantara kampung tersebut dengan kawasan resort dan kanak-kanak dihalang dan ditegah dari memasuki kawasan resort dan hotel. Apabila ditanya kenapa, jawapan pengusaha dan penjaga resort tersebut adalah, “ada kes kecurian”.. kami tidak mahu menuduh atau bersifat etnocetrism, namun jika dilihat,pulau tersebut asalnya adalah perkampungan mereka, kehadiran resort kapitalis dengan mudahnya menidakkan hak-hak orang tempatan. Dimanakah keadilannya kalau orang Bajau Laut sendiri perlu bayar untuk mandi laut di hadapan rumah mereka? Inilah yang perlu dibayar untuk membeli kapitalisme. Kami sempat berbual dan mandi bersama kanak-kanak Bajau Laut berhampiran sebuah resort sebelum kanak-kanak tersebut dihalau oleh penjaga resort tersebut.





























Kejernihan air laut yang memukau menarik ramai pelancong dari luar negara ke pulau tersebut. Pulau Sipadan yang diiktiraf antara 10 pulau tercantik dunia kini tidak boleh diduduki diatasnya atas faktor geologi asas tapak pulau tersebut yang merbahaya dan boleh runtuh bila-bula masa. Namun aktiviti scuba dan snorkeling masih boleh dijalankan dan para pelancong dan scuba divers akan tinggal di pulau mabul menjadikan pulau mabul semakin hari semakin ramai dengan pelancong. Pulau Mabul mengandungi beberapa kampung kecil dan berbelas buah resort dari yang mahal sehingga ke resort backpackers bagi scuba divers.
Dari pulau Mabul kami pulang ke Semporna dan bermalam di Kampung Batu Dua. Pada keesokkan harinya pula, kami ke Bukit Tengkorak dimana ia merupakan sebuah bukit yang agak tinggi yang membolehkan kita Nampak sekeliling Semporna. Selain itu, buki ini juga terkenal dengan arkeologi peninggalan masyarakat kuno di situ. Tulang belulang dan beberapa arang dijumpai oleh penyelidik hasil ekskavasi kumpulan arkeologi dari USM. Anak tangga dan pondok telah dibina dari kaki bukit sehingga ke puncak bukit tersebut memudahkan para pelancong mendaki Bukit Tengkorak. Sebuah muzium arkeologi Bukit Tengkorak dan beberapa kawasan lain di Semporna ada di kaki Bukit Tengkorak bagi mendidik dan memberi ilmu tentang aktiviti arkeologi dan budaya dan sejarah masyarakat awal pinggir pantai di Semporna kepada orang ramai.
























Dari Bukit Tengkorak, kami menuju ke Floating dimana ada dijual barang-barang kenangan untuk dijadikan cenderahati. Barang-barang tersebut termasuklah baju, topi, kerang-kerangan hiasan dan lain-lain. Terdapat juga sebuah tempat dijadikan kawasan pelancongan dimana mereka memelihara ikan-ikan di dalam air laut cetek. Kami tinggalkan Floating dan menuju ke Warisan iaitu tempat mandi dan kedai makan di pinggir laut Semporna. Disitulah Filem “Duyung” lakonan Apek Senario dan Maya Karin dilakonkan. Disini juga terjadi isu dimana kawasan pantai tersebut diletakkan jeti-jeti untuk mandi namun dikenakan bayaran.apakah masyarakat disitu juga perlu bayar untuk mandi di kampung sendiri..?













Kami tinggalkan persoalan dan kenangan bersama-sama pengalaman pahit manis kami di Semporna. Kami tinggalkan Semporna dengan seribu satu pengalaman dan mula membina perancangan untuk kembali ke Semporna semula…..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS