SUB-BUDAYA : PEMINAT BOLA SEPAK > ULTRAS > HOOLIGANS

SUB-BUDAYA : PEMINAT BOLA SEPAK > ULTRAS > HOOLIGANS

PEMBUKA KATA

Artikel kali ini dimana saya cuba menerangkan perubahan tahap peminat bola sepak dari minat biasa, kepada peminat fanatik, kepada penyokong Ultras sehingga kepada Hooligans. Walaupun secara kasarnya dilihat semua ini hanyalah berkaitan hobi, namun jika diamati, tingkah laku dan gelagat, bahasa, cara fikir dan ideologi para peminat ini akhirnya membentuk sebuah budaya atau sub-budaya yang kukuh dan memberi kesan mendalam kepada masyarakat dan arena sukan khususnya Bola Sepak.

Artikel ini diinspirasikan dari kejayaan Kedah sebagai Juara Piala Malaysia baru-baru ini, Kebangkitan Bola Sepak Johor, lagu “Kedah Serata-Rata”, serta perbincangan dengan seorang sahabat yang merupakan peminat bola sepak. Saya sendiri tidak begitu fanatik terhadap sukan ini, namun melihat penyokong dan perkembangan bola sepak serta kronologinya, saya berminat untuk melihat sejauh mana sukan bertaraf dunia ini memberi impak seterusnya membentuk sub-budaya di seluruh dunia.

PEMINAT BOLA SEPAK
Bola sepak merupakan satu sukan yang dikatakan digemari seluruh dunia. Dikatakan hampir setiap negara mempunyai pasukan dan kelab bola sepak mereka tersendiri. Minat terhadap bola sepak melahirkan ramai peminat. Ada yang meminati secara biasa, ada pula yang minat secara mendalam dan fanatik, sanggup berhabis wang, masa dan tenaga untuk melibatkan diri dalam Football Fans dari  menghafal nama pemain dan kedudukannya, mengumpul poster dan banner bola sepak, membeli tiket untuk menyaksikan perlawasan bola sepak sehingga lah membentuk kelab-kelab peminat bola sepak.


ULTRAS
Ultras pula merupakan Kumpulan Peminat Bola Sepak yang fanatik. Kebiasaannya mereka membentuk kumpulan atau kelab tersendiri dengan keahlian dan organisasi yang lebih tersusun dan teratur. Namun, tidak seperti peminat Bola Sepak yang biasa, Ultras dikatakan lebih cenderung untuk bersifat agak ganas namun kebiasaannya masih terkawal tidak seperti Hooligans. Beberapa ciri dan sifat yang biasa dilihat bagi ahli kumpulan ultras merangkumi penggunaan suar, sokongan suara, lagu dan laungan lantang dalam kumpulan yang besar, penggunaan alat bunyi yang lantang seperti drum dan gong dan memaparkan banner dan bendera di stadium bola sepak, dimana semua ini adalah untuk mewujudkan suasana yang menggalakkan pasukan mereka sendiri dan mengugut pemain lawan dan penyokong mereka. Ia umpama penentangan secara psikologi dan cuba menjatuhkan moral pihak lawan.

Antara ciri lain Ultras ialah kumpulan Ultras biasanya tertumpu kepada satu kumpulan teras pengasas atau pemimpin (yang biasanya memegang kawalan eksekutif), dimana kumpulan kecil yang lebih kecil disusun mengikut lokasi, persahabatan, pendirian politik, ideologi dan lain-lain. Ultras menggunakan pelbagai gaya dan saiz kain rentang dan bendera yang mengandungi nama dan simbol kumpulan mereka dengan cara yang kreatif. Beberapa kumpulan Ultras menjual barangan mereka sendiri untuk mengumpul dana untuk menjalankan aktiviti atau membeli barang-barang keperluan seperti banner dan bendera. Ahli kumpulan Ultras bilangannya boleh bermula beberapa peminat sehingga beratus-ratus atau beribu-ribu jumlah ahli. Kumpulan Ultras yang besar sering mendominasi sebahagian besar stadium. Kumpulan Ultras yang besar kebiasaanya mempunyai wakil yang diminta untuk berhubung dengan pemilik kelab bola sepak atau pemilik stadium, kebanyakannya mengenai tiket, peruntukan kerusi dan kemudahan tempat simpanan. Beberapa kelab menyediakan tiket murah untuk beberapa kumpulan Ultras, bilik simpanan untuk bendera dan kain rentang dan akses awal ke stadium sebelum perlawanan untuk memasang banner dan sebagainya. Hubungan ini kadangkala dikritik apabila kumpulan Ultras menyalahgunakan kuasa mereka.

Kumpulan Ultras juga boleh bertindak ganas, namun tidak seperti Hooligans, fokus utama Ultras adalah untuk menyokong pasukan mereka sendiri, manakala Hooligans pula mempunyai matlamat untuk bergaduh dengan Hooligans dari kelab lain, fokus utama ultras umumnya untuk menyokong pasukan mereka sendiri. Ultras lebih mudah dilihat apabila mereka bergerak beramai-ramai, mereka dengan bangganya memaparkan bendera, pakaian dan warna kelab mereka.

Tindakan melampau beberapa kumpulan Ultras kadangkala dikaitkan dengan pengaruh ideologi, sub-budaya, politik, perangsaka dan prejudis kaum, semangat nasionalis dan ada juga bersifat anti-fasis. Beberapa dekad akhir ini, kebanyakkan budaya Ultras mula tidak ditonjolkan dalam mempromosikan sukan terutamanya bola sepak kerana dikatakan pengaruh negatif yang dibawa oleh Ultras.

Perkataan ‘ultras’ dikatakan wujud dari perkataan ‘oltre’ yang bermaksud ‘beyond’ atau melampaui batasan. Ini kerana Ultras ditekankan  untuk setapak lebih dari orang lain.
Beberapa ciri Ultras lain ialah : -

Curva
Curva dan ultras adalah signifikan. Curva dalam bahasa itali atau ‘curve’ dengan kata lainnya adalah lengkongan di dalam stadium. Seseorang ultras hendaklah menumpukan taat setianya pada curva. Seperti mana A.S Roma di Stadium Olimpico  memilih Curva Sud dan Milan di Curva Nord, Stadium San Siro. Ultras memilih untuk setia dengan curva adalah berdasarkan beberapa faktor antaranya adalah dari segi sejarah yang dikhabarkan bahawa curva adalah tempat yang diberi kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli tiket bagi tempat duduk yang mahal dalam stadium, kebiasaanya diletakkan di belakang gol. Zaman berganti zaman, curva menjadi lokasi wajib bagi setiap ultras menjadikannya sebagai markas mereka bersorak dan berdiri 90 minit.  Kebiasaanya, di curva lah aksi-aksi menarik di pertontonkan sebagai tanda sokongan misalnya dalam pembakaran suar, pertunjukkan tifo dan paparan koreografi.

Corteo
Perarakan ultras beramai-ramai dengan bendera, banner dan chants dikenali sebagai corteo. Sambil  berarak, ultras akan menyanyikan pelbagai lagu semangat mengiringi corteo mereka. Lazimnya corteo dimulakan sekumpulan kecil dan diikuti orang ramai menjadi perarakan besar. Corteo adalah penting dalam menunjukkan kegerunan kepada pihak lawan. Ia dapat menjadi senjata yang boleh melemahkan semangat pihak lawan disaat menyaksikan segerombolan tentera yang mereka perlu hadapi.

Tifo
Tifo berasal dari perkataan itali, merupakan salah satu elemen penting dalam ultras. Ia adalah satu paparan koreografi yang membentuk imej dan tulisan. Tifo dilakukan dalam skala yang ramai dan disiplin yang mantap diperlukan dalam membentuk koreografi paparan tersebut. Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti plastik, kertas yang membentuk paparan, bendera dan banner yang besar, paper rolls dan sebagainya bergantung kepada kreativiti penyokong.

Capo
Ketua yang memimpin sesuatu krew atau tentera digelar Capo yang berasal dari perkataan itali. Disiplin seseorang ultras turut mewajibkan crew ultras untuk mengikut setiap arahan yang diberikan oleh capo. Ini bagi memastikan keseragaman dan setiap choreo yang mahu dilakukan dapat dilakukan dengan jayanya. Crew adalah dilarang sama sekali berdiri di tempat capo iaitu di bahagian bawah sekali bagi mengelakkan kesesakan yang akan mengakibatkan arahan tidak sampai dengan lancarnya. Seseorang capo harus bersifat tegas kerana capo adalah dipandang tinggi dalam ultras kerana nadi kelancaran sesuatu perjalanan bergantung kepada capo.

Flares dan bom asap
Ultras tanpa suar (flares) adalah sesuatu yang tidak seimbang ibarat pantai yang tidak berombak. Disiplin dalam pembakaran flares adalah suatu yang seni. Ramai orang yang menyalah anggap bahawa ultras yang membakar adalah samseng bolasepak. Penulis percaya penggunaan flares dikalangan ultras adalah berdisiplin dan terkawal. Seseorang ultras bijak yang membakar flares akan memadamkan sendiri flares yang dibakar dan tidak dibaling ke padang kerana ia boleh menggangu perlawanan. Memegang flares dan membakar bom asap adalah sesuatu penghormatan dari ultras kepada pasukan di samping menimbulkan rasa gerun kepada pihak lawan. Kontroversi mengenai pembakaran flares dan bom asap haruslah diredakan memandangkan disiplin ultras dalam mengendalikan instrument tersebut adalah terkawal.

Ultras Malaysia dengan Flares

Freddie Marciano dalam artikelnya menafsirkan bahawa seseorang ultras itu tidak boleh dilihat dengan pakaian (dress code). Lazimnya seseorang ultras dikenali dengan hooded, scard/mafla yang menutupi mukanya, dan tidak mengikuti trend berpakaian seseorang peminat bolasepak. Baju yang dipakai juga tidak mempunyai logo kelab. Hanya kawan baik akan mengenal seseorang ultras dan Ultras itu bukan satu trend tetapi jiwa, fenomena dan budaya. 

Berikut merupakan beberapa teras dalam Ultras : -
1) Tidak berhenti menyanyi atau chanting semasa perlawanan, tidak kira keputusannya.
2) Tidak duduk semasa perlawanan.
3) Hadir sebanyak mungkin perlawanan (Home & away), tidak mengira kos dan jarak.
4) kesetiaan kepada lokasi ultras. (curva)

Perbezaan Ultras dan Hooligans.

Hooliganism lebih kepada pergaduhan antara kelab. Berbeza dengan Ultras walaupun kadangkala boleh menjadi ganas, kebanyakan perlawanan berlansung tanpa insiden pergaduhan. Ultras adalah seni. Seni flares, Tifo dan choreo. Seseorang ultras tidak akan menyerang, namun jika diserang pertahankan diri adalah menjadi keutamaan. “Ultras never leave man behind; this is brotherhood, blood in blood out”

Sejarah permulaan Ultras masih lagi dipertikaikan kerana hampir setiap kumpulan menganggap kumpulan mereka sebagai pemula Ultras. Walaubagaimanapun, kewujudan pemula Ultras dikatakan bermula dari Brazil pada tahun 1939  oleh kumpulan Organizada Torcida dan kemudiannya kumpulan Hajduk Split pula membentuk Torcida Split pada 28 Oktober 1950. Mereka dianggap kumpulan Ultras tertua yang menyebarkan kebudayaan Ultras ke Eropah.

Di Eropah pula, dikatakan Ultras pertama bermula di Itali dengan pembentukkan beberapa kumpulan  kumpulan Fedelissimi Granata of Torino pada Tahun 1951. Penyebaran dan pembangunan budaya dan pembawakan ciri-ciri Ultras berterusan dengan pembentukan Fossa dei Leoni dan Boys San. Nitizen sering menganggap Itali sebagai pemula kumpulan ultras di Eropah. Istilah Ultras pertama kali digunakan sebagai nama pada tahun 1969 apabila penyokong Sampdoria, Itali, membentuk Ultras Tito Cucchiaroni dan peminat Torino juga dari Itali membentuk Ultras Granata.

Pergerakan Ultras tersebar di Eropah pada tahun 1980-an, 1990-an dan 2000-an, bermula dengan negara-negara terdekat dengan Itali. Kesannya ke atas budaya bola sepak negara-negara yang terlibat sangat mendalam. Ultras dianggap sebagai satu tahap organisasi yang tersusun di kalangan peminat atau tradisi sokongan terhadap pasukan yang diminati. Jerman, Belgium dan Belanda merupakan tiga negara yang mana kebudayaan bola sepak telah dipengaruhi oleh bola sepak British pada masa lalu, mengalami perubahan yang ketara dengan pengaruh Ultras. Kebudayaan bola sepak Inggeris adalah contoh yang utama yang mana banyak dipengaruhi oleh pergerakan Ultras.

Ultras Malaya

Budaya Ultras masih lagi baru di Malaysia walaupun sudah dimulakan dengan Ultras Malaya sejak tahun 2007 lagi. Namun dek kesedaran anak muda dalam memperjuangkan hak membangunkan sukan bola sepak di Malaysia, Ultras di setiap negeri terbit bagai cendawan selepas hujan mengikuti langkah murni Ultrasel (Selangor), Ultras Kedah dan SilverStateUltras (SSU Perak). Persembahan cemerlang Ultras Malaya pada perlawanan Piala AFF Suzuki 2010 mendorong kemunculan Ultras No9ori (Negeri Sembilan), Ultras Kelantan-The Red Mania dan Gate H Boys (Kelantan), Brigate Gialloblu-BGB Perlis (Perlis), North Borneo Ultras (Sabah), GB-13 (Sarawak),  Ultras Tranung (Terengganu), Southern Troop Ultras (Johor), Ultras Taming Sari (Melaka), Elephant Army (Pahang), Ultras Panther (Pulau Pinang),  Kuala Lumpur Ultras - CityBoys (Kuala Lumpur) dan Ultras Kedah ( Kedah) untuk memeriahkan lagi fenomena Ultras di Malaysia. Semoga kehadiran jiwa-jiwa ini dapat mengembalikan kegemilangan Liga Malaysia.

ULTRAS setiap negeri di Malaysia

ULTRAS MALAYA

HOOLIGANS

Dikenali sebagai Football Hooligans atau Hooligans, perkataan tersebut merujuk kepada Penyokong Samseng Bola sepak yang terlalu fanatik dan tidak terkawal, ganas, dan perosak dan selalu terlibat dengan pertengkaran atau pergaduhan, vandalisme dan ugutan. Juga dikenali sebagai Football Firms, slang British untuk kumpulan penjenayah, diwujudkan bagi merendahkan moralisasi kumpulan lawan serta mencederakan secara fizikal penyokong pasukan lain. Istilah atau kata-kata lain yang biasa digunakan berkaitan dengan Hooligans termasuklah "army", "boys", "casuals", dan "crew".

Hooligans pada dasarnya merupakan samseng dan peminat fanatik yang agak kasar yang bersedia bertindak diluar batasan sehingga menyebabkan kecederaan mahupun kematian. Musuh dan sasaran mereka, kumpulan Hooligans dari kelab musuh pasukan bola sepak mereka, pemain bola dan pegawai serta jurulatih pasukan lawan, polis ant-rusuhan yang biasanya menjaga stadium, pengadil perlawanan, peminat pasukan pihak lawan dan kadang-kala orang awam termasuklah pihak media.

Salah seorang Hooligans

Sesetengah Kelab Pasukan Bola dikatakan telah menjadi musuh ketat atau musuh tradisi memperlihatkan Hooligans dari kumpulan masing-masing (juga dipanggil Local Derbies) berperang antara satu dengan yang lain. Seperti yang dinyatakan sebelum ini Hooligans yang mempunyai matlamat untuk berlawan dengan Hooligans dari kelab lain, berbeza dengan fokus utama Ultras yang umumnya untuk menyokong pasukan mereka sendiri.

Hooligans yang mempunyai masa dan wang mengikuti perlawanan di tempat lawan dan melibatkan diri dalam pergaduhan menentang Hooligans daripada pasukan tuan rumah. Mereka juga terlibat dalam kekacauan yang melibatkan orang awam. Walaupun sebenarnya kehadiran Hoolignas tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana kelab dan pasukan Bola Sepak, namun mereka tetap wujud sebagai benteng pertama dalam penentangan underground dalam kalangan peminat bola sepak.

Konflik, amukan, pergaduhan dan demonstrasi boleh berlaku sebelum, semasa atau selepas perlawanan. lokasi yang agak jauh dari stadium biasanya menjadi pilihan untuk mengelakkan ditangkap oleh polis, tetapi konflik juga boleh meletus secara spontan di dalam stadium atau di jalan-jalan di sekitarnya. Apabila konflik dan pergaduhan berlaku, tingkap kedai boleh dihancurkan, tong sampah dibakar, dan sesetengah kes kereta polis boleh terbalik dan dibakar. 

Dalam kes-kes yang lebih dasyat, ahli Hooligans, polis, dan penonton terbunuh dalam persengketaan ini. Polis rusuhan berperisai akan campur tangan dengan menggunakan gas pemedih mata, anjing polis, kereta perisai dan meriam air bagi mengekang demonstrasi dan amukan Hooligans. Beberapa istilah yang berkaitan dengan keganasan Hooligans seperti "aggro" (singkatan daripada "aggravation" atau "gangguan") dan "bovver" (sebutan slang daripada "bother" atau "mengganggu", iaitu masalah). Untuk "run" adalah amaran kepada pasukan Hooligans musuh untuk membuat mereka larikan diri atau berundur.

Antara behaviour negatif Hooligans termasuklah, mengejek, meludah, pertempuran atau bergaduh tanpa senjata, membaling objek ke padang, mencederakan pemain dan pegawai atau sebagai tanda penghinaan, membaling objek ke arah penyokong lawan, termasuk batu-batu, bata, suar dan bom api, bergaduh dengan senjata termasuk kayu pemukul, botol kaca, batu, besi cerucuk, pisau, parang, buku lima besi dan senjata api. Selain itu, mereka juga bersifat vandalisme seperti meruntuhkan pagar dan dinding stadium, membakar kerusi dan lain-lain.
Seperti Ultras, sejarah permulaan tingkah laku Hooligans dikalangan peminat bola sepak dunia masih lagi samar-samar. Namun dikatakan fenomena ini sudah boleh dikesan pada abad ke-14 di England. Pada 1314, King Edward II mengharamkan bola sepak (kerana isu sukan bola sepak dikatakan membawa kepada keganasan dan pergaduhan) kerana beliau percaya pergaduhan ini mungkin membawa kepada pergolakan sosial. University of Liverpool dalam kajian Academic Paper, ada meneliti tentang "pencerobohan padang" sebagai kejadian yang biasa berlaku semasa tahun 1880-an dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Contoh-contoh awal yang merekodkan tentang budaya Hooligans dalam bola sepak moden dikatakan berlaku semasa tahun 1880-an di England, dimana para penyokong akan menakut-nakutkan kawasan kejiranan musuh, di samping menyerang pengadil dan menentang penyokong dan pemain pihak lawan. Pada tahun 1885, selepas Preston North End menewaskan Aston Villa 5-0 dalam perlawanan persahabatan, kedua-dua pasukan penyokong saling melontar dengan batu, menyerang dengan kayu, menumbuk, menendang dan meludah pihak lawan.

Seorang pemain Preston dipukul dengan kuat sehingga dia tidak sedarkan diri dan akhbar pada waktu itu menyifatkan peminat-pminat fanatik tersebut sebagai sebagai "howling roughs" atau Laungan Kekasasaran. Pada tahun berikutnya, peminat Preston membalas dendam dengan bertempur dengan peminat Park Queen di stesen-kereta api dan ini antara kes awal isu Hooligans di luar perlawanan bola sepak. Pada tahun 1905, lanjutan dari keganasan dari kes sebelum ini, beberapa peminat Preston mula terlihat lebih bersifat Hooligans dengan mengganggu seorang wanita berusia 70 tahun , mabuk dan berperangai gila dalam perlawanan menentang Blackburn Rovers.

Walaupun kejadian keganasan dan kekacauan peminat bola sepak telah menjadi sebahagian dari sejarah persatuan bola sepak sejak sekian lamanya, namun fenomena ini hanya mula mendapat perhatian media sekitar tahun 1950-an kerana kemunculan semula keganasan dalam bola sepak di Amerika Latin. Dalam tahun 1955-1956 pada musim bola sepak Inggeris, peminat Liverpool dan Everton terlibat dalam beberapa kejadian keganasan dan kekacauan sehingga tahun 1960-an dilaporkan bahawa purata 25 insiden samseng telah dilaporkan setiap tahun di England. Label "Football Hooligans" buat pertama kalinya mula muncul dalam media Inggeris pada pertengahan 1960-an, yang membawa kepada peningkatan minat media untuk menggunakan istilah tersebut dalam laporan mereka yang mana membawa kepada 'moral panic' dimana media membesar-besarkan situasi sebenar.

Hooligans akhirnya dianggap sebagai kumpulan yang kurang berminat untuk menonton perlawanan bola sepak dan lebih kepada ingin membuat kekacauan dan huru-hara di stadium. Mereka sering terlibat merisikokan diri mereka untuk ditangkap sebelum perlawanan, sehingga tidak dibenarkan memasuki stadium, dibuang keluar dari stadium semasa perlawanan atau diharamkan daripada menghadiri perlawanan akan datang.

Hooligans sering dilihat bergaul sesama mereka sahaja, berkumpul di sesuatu sudut di stadium (dipanggil End England) atau meletakkan nama kumpulan mereka di sesuatu sudut stadium sebagai tanda kawasan mereka. Di United Kingdom, pada era 1960-an dan awal 1970-an Hooligans dikaitkan dengan sub-budayaan Skinhead. Kemudian, cabang sub-budaya Casual pula mengambil alih Sub-Budaya Hooligans di Britain namun Sub-Budaya Skinhead sebagai sebahagian dari Hooligans masih wujud sehingga ke hari ini. Tidak seperti Fesyen Skinhead  yang memakai pakaian working class, yang mudah dikenal pasti oleh polis, Hooligans Casual mula memakai pakaian berjenama sukan yang mahal dan kurang menonjol dan tidak dipantau sebagai Hooligans seperti Stone Island, Prada, Burberry, CP Syarikat , Sergio Tacchini dan Adidas.

Kebudayaan Hooligans berkembang sehingga ke hari ini di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Di Malaysia, hooligan suatu ketika dulu sering sinonim dengan pasukan Kelantan sehingga menyebabkan banyak pasukan pelawat bimbang bermain di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu tidak kira sama ada lawan itu kalah, seri apatah lagi jika menang. Khabarnya polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) waktu itu tidak tidur lena jika ada perlawanan di stadium tersebut keesokan hari bukan setakat mengawal nyawa pemain pelawat malah melindungi penyokong pasukan lawan agar dapat keluar dengan selamat.

Tidak ketinggalan peminat tegar pasukan Sarawak yang pasti mencetuskan hura-hara di dalam stadium dengan pembakaran suar api selain melempar objek kecil seperti botol air mineral namun itu kisah lama sebelum era digital internet dan laman sosial maya wujud.
Akhir-akhir ini tumpuan media lebih ke arah kelab berprestij JDT yang terkenal dengan barisan pemain bertaraf bintang selain beberapa titah kontroversi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak menerajui pasukan yang asalnya dulu Johor FC. Berbanding Johor selaku pasukan rasmi negeri, JDT lebih digeruni pasukan lawan bukan kerana permainan mantap pemain-pemainnya, tetapi sikap fanatik kumpulan penyokong yang sering mencetuskan provokasi sebelum, semasa bahkan selepas perlawanan tamat.

Dikenali sebagai Inter Johor Firms (IJF), peminat tanah air mengenali kelibat penyokong terbabit yang menutup separuh muka atau wajah topeng macam si adiwira Zorro selain berpakaian gelap dan aktif bersorak kuat tanpa henti sepanjang 90 minit perlawanan.
Kemuncak hooligan di Malaysia pastinya merujuk perlawanan pertama Piala AFF Suzuki antara skuad Harimau Malaya bertemu Vietnam di Shah Alam, yang mencemarkan imej negara ketika berbaki tiga minggu akhir kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.


Hooligans Malaysia membantai Penyokong Bola Sepak Vietnam pada perlawanan pertama Piala AFF Suzuki antara skuad Harimau Malaya bertemu Vietnam di Shah Alam 2014


RUMUSAN

Walaupun bola sepak bermula dari minat dan hobi, tidak mustahil ianya mampu berkembang menjadi sub-budaya dan menjadi salah satu isu dunia sukan. Sama ada peminat biasa, Ultras mahupun Hooligans, asasnya kesemua ini bermula dari minat yang mendalam terhadap sukan Bola Sepak. Jika terdapat kesalahan, tegurlah, kerana saya tidak begitu arif tentang peminat bola sepak ini. Sambil menaip artikel ini, sambil mendengar Lagu ‘Kedah Serata-Rata’ yang membangkitkan semangat untuk terus menulis bagi menyebarkan ilmu ini dikalangan peminat bola sepak dan seluruh masyarakat. Majulah Bola Sepak Malaysia.


KREDIT
http://ultrasnogori.blogspot.my/2011/02/ultras-fenomena-dan-budaya.html
http://penyokongliar.blogspot.my/2015/05/senarai-ultras-di-malaysia.html
http://www.mynewshub.cc/terkini/hooligan-700-tahun-mungkin-berakhir-di-malaysia/



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment