SEMPORNA – DUNIA SYURGA PARA PELAUT
Dalam kembara di Bumi Di Bawah Bayu
kali ini, kakiku melangkah ke sebuah daerah dikenali sebagai Semporna.
Perjalanan menaiki bas dari Kota Kinabalu ke Semporna mengambil masa hampir 9
jam merentasi belantara kuno Sabah melalui tepian-tepian rimba agung Maliau
Basin dan kaki gunung lagenda Gunung Kinabalu yang masih belum dicabul
tangan-tangan rakus manusia. Perjalanan malam hari dibuai gelodak jalan-jalan
berlubang dan liku-liku yang kadang-kala menyukarkan mata ini untuk terlelap
membuat diriku banyak berfikir tentang hidup dan kehidupan walaupun
kadang-kadang terhangguk-hangguk dek keletihan.
Akhirnya hampir 9 jam bertarung
dengan jalan, diriku serta beberapa rakan sampai di daerah Semporna dalam jam 5
pagi. Kami dibawa oleh saudara rakanku ke rumah rakanku untuk berehat sebelum
memulakan pengembaraan menyusuri daerah ini. Misi kajianku kali ini adalah untuk
mengkaji cabaran dan faktor migrant-migrant dari Filipina yang berhijrah ke
Sabah demi memulakan hidup baru.
Perjalanan bermula dengan menaiki
prebet sapu dari Kg Batu dua ke pekan Semporna. Kami melangkah di celah-celah
campuran masyarakat yang sudah biasa dengan hidup di laut seperti Bajau Laut,
Bajau Kubang, Sulu dan beberapa masyarakat lain yang ada di sini. Penduduk asal
Semporna menurut orang tua di sini merupakan masyarakat Bajau Kubang. Bajau
Kubang ini tinggal di darat dan mencari rezeki di laut. Berbeza dengan saudara
mereka yang paling hampir iaitu Bajau Laut yang menjadikan bot, sampan dan
kapal sebagai rumah mereka dan laut adalah kediaman mereka. Masyarakat Sulu
juga merupakan golongan yang tidak terkecuali hebat di lautan namun masih
menjadikan tanah besar dan pulau sebagai rumah. Masyarakat Sulu pula dikatakan
berhijrah dari Filipina namun penghijrahan mereka bermula sejak sekian lama
dahulu, malah ada yang sudah beratus dan bergenerasi lamanya tinggal di Sabah
dan Semporna khususnya. Berbeza pula dengan masyarakat Bajau Laut yang unik,
mereka tinggal di sekitar lautan Sulu yang merupakan sempadan antara Malaysia,
Filipina dan lautan lepas. Jadi PBB telah mengizinkan mereka untuk terus
belayar merentas sempadan politik demi menghormati adat yang telah mereka
jalani berkurun lamanya.
Semporna merupakan salah satu
daerah dan kawasan yang hampir dengan sempadan Filipina selain dari Sandakan,
Lahad Datu dan Kudat. Kawasannya yang berada dipinggir pantai menjadikan
masyarakatnya rapat dengan laut. Malah, kewujudan berpuluh-puluh pulau-pulau
kecil di sekitar lautan Semporna menjadikan lautannya sering dikunjungi. Namun
yang paling menjadi tumpuan adalah beberapa pulau yang diiktiraf antara
pulau-pulau tercantik di dunia seperti Pulau Sipadan, Mabul dan Buhey Dulang.
Kejernihan air lautnya yang berwarna biru, hijau, cyan, turquoise dan aqua
memberikan satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Walaupun dibahagian
jeti di belakang pasar mereka dipenuhi sampah yang dikatakan dari laut dan
darat, namun ia tidak mencacatkan keindahan lautnya.
Dihadapan pekan Semporna
menghadap ke laut merupakan sebuah pulau yang agak besar dipanggil pulau
Bum-Bum yang mempunyai ramai penduduk. Dari tanah besar semporna ke pulau
Bum-Bum mengambil masa lebih kurang 5-10 minit menaiki bot. Dasar airnya yang
tidak terlalu dalam dan jernih memudahkan kita mengintai dasar laut semporna
yang indah. Dalam perjalanan ke pulau tersebut, kita boleh melihat bot-bot
kecil, bot-bot layar, bot nelayan dan bot pelancong berderum-derum merentasi
lautan tersebut.
Di pulau Bum-Bum, kami bermalam
di kampung Look Butun untuk meneruskan kajian kami mengenai migrant disitu.
Kebanyakkan migrant masih belum mempunyai dokumen yang lengkap, kebanyakkan
mereka masih memohon IC merah dan mereka masih menggunakan Worldpass dimana
ianya masih boleh digunakan cuma perlu diperbaharui. Kebanyakkan migrant yang
kami kaji adalah dari etnik Sulu yang bermigrasi dari Filipina atas faktor
mencari rezeki dan melarikan diri dari kekacauan di Kampung halaman. Di Sabah,mereka
boleh mencari rezeki dengan tenang dan hidup lebih baik. Kebanykkan responden
yang kami kaji menjadikan pengusahaan dan penjualan rumpai laut sebagai sumber
mata pencarian utama selain menangkap ikan dan membuat serta membaiki perahu
dan alatan menangkap ikan seperti jala dan pukat. Kebanyakkan mereka mendirikan
rumah ditengah laut dikenali sebagai pondoan. Setiap pondoan mempunyai sekitar
3-8 buah rumah berasingan yang disanbung dengan titi kecil. Rumah-rumah kasyu
ini dibina sendiri dengan bantuan keluarga dan kenalan. Untuk sampai ke
mana-mana pondoan tidak lain tidak bukan adalah melalui laut dengan menggunakan
bot dan perahu. Mereka membina rumah di tengah laut bagi memudahkan mereka
mengutip hasil rumpai laut yang mereka tuai sebelum ini.
Walaupun pada pandangan orang
luar mereka Nampak daif dan susah, namun jika dikaji dengan dekat, mereka hidup
dengan gembira dan tenang. Ada yang sudah bergenerasi lamanya tinggal disitu
dan ada pula yang baru sahaja bermigrasi dari Filipina beberapa puluh tahun
lalu. Namun kebanyakkan mereka memiliki dokumen sah seperti dokumen Worldpass
untuk tinggal disitu.
Dalam mengkaji isu dokumen ini,
kebanyakkan rakyat Malaysia terutamanya rakyat semenanjung masih belum faham
tentang isu pemberian IC oleh mantan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamad. Bagi sesetengah orang, ia umpama menjual maruah negara dengan
memberi kerakyatan negara kepada warga asing. Namun sedarkah kita, bahawa
masyarakat ini Seperti Kaum Bajau dan Sulu telah lama tinggal di Sabah,
Filipina dan perairan diantaranya. Namun dengan kemunculan negara baru yang
membina sempadan politik iaitu sempadan Filipina dan Malaysia seolah-olah kita
membelah kawasan kediaman mereka kepada dua. Ini tidak adil bagi masyarakat
tersebut yang sudah berkurun lamanya menjadikan pulau-pulau dan lautan tersebut
sebagai kediaman mereka dan mereka sekian lama hidup berpindah randah dari
pulau ke pulau dan tinggal di dalam sampan di lautan. Jadi bagi mengurangkan
masalah tersebut, inisiatif telah diambil bagi mengkaji dan meneliti serta
membanci masyarakat ini dan memberikannya IC bagi yang layak.
Setelah selesai kajian yang
dijalankan, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Mabul. Menaiki bot laju yang
enjinnya berkekuatan 250cc menjadikan perjalanan hampir sejam dari Jeti
Semporna. Kami dapat melihat pulau-pulau dan lautan yang begitu memukau
pandangan. Sesampainya kami di Mabul, selepas makan kami mula berjalan dan
meninjau di kawasan resort sebelum melangkah pula ke perkampungan Bajau Laut.
Telah dibina tempok tinggi diantara kampung tersebut dengan kawasan resort dan
kanak-kanak dihalang dan ditegah dari memasuki kawasan resort dan hotel.
Apabila ditanya kenapa, jawapan pengusaha dan penjaga resort tersebut adalah,
“ada kes kecurian”.. kami tidak mahu menuduh atau bersifat etnocetrism, namun
jika dilihat,pulau tersebut asalnya adalah perkampungan mereka, kehadiran
resort kapitalis dengan mudahnya menidakkan hak-hak orang tempatan. Dimanakah
keadilannya kalau orang Bajau Laut sendiri perlu bayar untuk mandi laut di
hadapan rumah mereka? Inilah yang perlu dibayar untuk membeli kapitalisme. Kami
sempat berbual dan mandi bersama kanak-kanak Bajau Laut berhampiran sebuah
resort sebelum kanak-kanak tersebut dihalau oleh penjaga resort tersebut.
Kejernihan air laut yang memukau menarik ramai pelancong dari luar negara ke pulau tersebut. Pulau Sipadan yang diiktiraf antara 10 pulau tercantik dunia kini tidak boleh diduduki diatasnya atas faktor geologi asas tapak pulau tersebut yang merbahaya dan boleh runtuh bila-bula masa. Namun aktiviti scuba dan snorkeling masih boleh dijalankan dan para pelancong dan scuba divers akan tinggal di pulau mabul menjadikan pulau mabul semakin hari semakin ramai dengan pelancong. Pulau Mabul mengandungi beberapa kampung kecil dan berbelas buah resort dari yang mahal sehingga ke resort backpackers bagi scuba divers.
Dari pulau Mabul kami pulang ke
Semporna dan bermalam di Kampung Batu Dua. Pada keesokkan harinya pula, kami ke
Bukit Tengkorak dimana ia merupakan sebuah bukit yang agak tinggi yang
membolehkan kita Nampak sekeliling Semporna. Selain itu, buki ini juga terkenal
dengan arkeologi peninggalan masyarakat kuno di situ. Tulang belulang dan
beberapa arang dijumpai oleh penyelidik hasil ekskavasi kumpulan arkeologi dari
USM. Anak tangga dan pondok telah dibina dari kaki bukit sehingga ke puncak
bukit tersebut memudahkan para pelancong mendaki Bukit Tengkorak. Sebuah muzium
arkeologi Bukit Tengkorak dan beberapa kawasan lain di Semporna ada di kaki
Bukit Tengkorak bagi mendidik dan memberi ilmu tentang aktiviti arkeologi dan
budaya dan sejarah masyarakat awal pinggir pantai di Semporna kepada orang
ramai.
Dari Bukit Tengkorak, kami menuju
ke Floating dimana ada dijual barang-barang kenangan untuk dijadikan cenderahati.
Barang-barang tersebut termasuklah baju, topi, kerang-kerangan hiasan dan
lain-lain. Terdapat juga sebuah tempat dijadikan kawasan pelancongan dimana
mereka memelihara ikan-ikan di dalam air laut cetek. Kami tinggalkan Floating
dan menuju ke Warisan iaitu tempat mandi dan kedai makan di pinggir laut
Semporna. Disitulah Filem “Duyung” lakonan Apek Senario dan Maya Karin
dilakonkan. Disini juga terjadi isu dimana kawasan pantai tersebut diletakkan
jeti-jeti untuk mandi namun dikenakan bayaran.apakah masyarakat disitu juga
perlu bayar untuk mandi di kampung sendiri..?
Kami tinggalkan persoalan dan
kenangan bersama-sama pengalaman pahit manis kami di Semporna. Kami tinggalkan
Semporna dengan seribu satu pengalaman dan mula membina perancangan untuk
kembali ke Semporna semula…..