Dalam mengkaji perkara-perkara ghaib, mistik dan sebagainya, aku tertarik dalam mengkaji makhluk-makhluk ghaib yang dikatakan mempunyai struktur masyarakat tersendiri sama ada sama seperti manusia, hampir sama seperti manusia ataupun berbeza sekali dengan manusia. Oleh itu, mungkinkah ahli-ahli sosiologi dan antropologi boleh mengkaji struktur makhluk-makhluk ini sedangkan kewujudan mereka belum pernah dibuktikan. Malah, kewujudan mereka juga dikatakan tidak boleh dilihat dengan pancaindera manusia biasa. kajian mengenai makhluk-makhluk ini hanya berdasarkan kajian-kajian tradisi lisan, cerita-cerita rakyat dan pengalaman-pengalaman individu yang diperturunkan dari generasi-ke generasi. berikut merupakan sebahagian ciri-ciri makhluk bunian yang ditulis oleh Uncle Seekers dalam buku kajian beliau.
Kepercayaan
terhadap bunian adalah sangat popular dalam kalangan masyarakat di negara Malaysia, khususnya bagi masyarakat Melayu dan juga Brunei Sabah. Kepercayaan
terhadap bunian ini telah lama wujud dan disampaikan oleh generasi yang
terdahulu kepada generasi pada masa kini. Bunian pada asalnya dipercayai
merupakan sejenis makhluk halus daripada golongan jin yang dikatakan mirip
dengan “elf” dalam lagenda masyarakat barat. Juga dikenali sebagai hantu
bunyi-bunyian, bunian dikategori sebagai hantu kerana tidak dapat dilihat
dengan mata kasar manusia.
Walaubagaimanapun dikatakan perbuatan atau aktiviti yang dilakukan oleh makhluk
bunian ini boleh didengari atau dirasai oleh pancaindera manusia biasa. Antara
aktiviti bunian yang sering didengari oleh manusia ialah suara seperti orang
yang sedang berzanji, berjanji, bermain kompang, berbual, bergelak ketawa, bunyi
periuk belanga atau riuh rendah seperti majlis kenduri sedang berlangsung di
dalam hutan atau bunyi-bunyi riak air seperti perahu melalui kawasan sungai
atau tasik. Walaubagaimanapun, jika cuba menghampiri atau mencari arah bunyi
tersebut, tidak ada kelibat manusia atau haiwan atau apa-apa yang boleh
mengeluarkan bunyi-bunyi tersebut di kawasan itu. Fenomena ini lah yang sering
dikaitkan dengan bunian (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 7).
Orang bunian juga
dikatakan mampu menyesatkan perjalanan atau laluan manusia. Ada juga kejadian
menceritakan bunian gemar menculik orang-orang yang mereka minati. Bunian
dikatakan mempunyai kuasa yang luar biasa, gemar berkawan dan suka menolong
manusia terutamanya pawang atau bomoh. Bunian dikatakan membantu bomoh atau dalam
tugas-tugas yang berkaitan dengan rawatan traditional (Abdullah Hussien
Alattas, 2008: 7).
Terdapat juga
kisah peralatan atau perkakas perkahwinan seperti periuk, pinggan mangkuk,
cerek, talam, talam dan lain-lain perlatan yang dipinjam oleh bomoh daripada
bunian yang digunakan dalam upacara kenduri-kendara hendaklah dipulangkan
semula dalam keadaan bersih dan sempurna supaya bunian tidak marah. Sekiranya
ada kerosakkan, kertakkan atau sompek pada perkakas tersebut, perkakas tersebut
hendaklah dipulangkan juga supaya bunian tidak berkecil hati atau merajuk
(Abdullah Hussien Alattas, 2008: 9).
Antara ciri-ciri
makhluk ini dipercayai bahawa bunian wujud dalam komuniti atau masyarakat yang
besar. Antara kehidupan bunian dengan manusia biasa tidak banyak bezanya. Cuma
bunian dikatakan mempunyai kuasa ajaib dan mereka dikatakan mempunyai kuasa
ajaib dan mereka tidak dapat dilihat oleh manusia. Mereka juga dikatakan
mempunyai barisan pemimpinseperti sultan, permaisuri, orang-orang besar istana,
dengan nama dan gelaran tersendiri. Selain hidup bermasyarakat, mereka
dipercayai hidup berumah tangga dan kawasan penempatan mereka sama dengan
kawasan penempatan manusia. Bunian juga dikatakan menunaikan haji dan mempunyai
kenderaan di alam mereka sendiri. Perkara yang membezakan antara bunian dengan
manusia biasa ialah dari segi pakaian dimana lelaki dan wanita mereka
berpakaian satu warna sahaja walaupun rekaan atau bentuk baju (fesyen) bajunya
berbeza-beza (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 9).
Ada pendapat
mengatakan bahawa bunian adalah hasil gabungan daripada hubungan sejenis
manusia dan jin. Teori lain pula berpendapat bahawa ada kaum yang sangat alim,
tetapi lalai dan melakukan perbuatan jahat sehingga melanggar perintah tuhan.
Kaum ini disumpah menjadi bunian. Terdapat satu lagi versi yang mendakwa
kononnya bunian berasal daripada segolongan manusia yang berdoa kepada Tuhan
agar kesujudan mereka tidak dapat dilihat oleh manusia lain. Mereka berasa malu
dan rasa bersalah kerana telah menghidangkan daging yang tidak halal kepada
seorang ulama. Makanan yang sepatutnya dihidangkan untuk ulama itu sudah habis
kerana kehadiran tetamu yang sangat ramai. Dalam keadaan terdesak, mereka
terpaksa menyembelih haiwan yang tidak sepatutnya untuk dihidangkan kepadanya
(Abdullah Hussien Alattas, 2008: 10).
Paras rupa serta
keadaan fizikal bunian dikatakan sama seperti manusia malah dikatakan lebih
cantik dan kacak berbanding manusia biasa. Kaum wanita mereka dikatakan sangat
cantik, berkulit putih dan halus, dan semuanya berambut panjang paras pinggang.
Manakala kaum lelaki mereka pula bertubuh sasa dan berkulit kuning langsat.
Mereka juga mempunyai keluarga, rumah dan hidup bermasyarakat atau perkampungan
dengan pelbagai kemudahan seperti yang ada di alam manusia biasa. Kawasan perkampungan
mereka diakatakan terletak jauh di dalam hutan atau jauh dari kawasan
penempatan manusia. Tulisan bunian juga dikatakan agak unik. Ini kerana mereka
menggunakan tulisan jawi purba yang sangat sukar dibaca. Bunian dikatakan gemar
bermain kompang pada setiap malam jumaat sekitar jam 2.00 pagi sehingga subuh
(Abdullah Hussien Alattas, 2008: 12).
Selain itu,
sebahagian bunian dikatakan tinggal berhampiran dengan penempatan manusia atau
dalam rumah manusia biasa. Kejadian-kejadian pelik seperti bau nasi hangit atau
menggelegak yang sangat kuat baunya atau buaian bayi berbuai dengan dendiri
sering dikaitkan dengan manusia yang terpaksa berkongsi rumah dengan bunian.
Bunian juga dikatakan gemar meminjam buaian yang terletak di halaman rumah
manusia sekiranya kawasan penempatan bunian tersebut berdekatan dengan
perkampungan manusia (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 12).
Kejadian
perempuan yang kehilangan janin (bayi) di dalam rahim semasa hamil sewaktu
tidur turut dikaitkan dengan bunian mengambil janin (bayi) tersebut. Sebelum
kehilangan itu disedari, mereka didakwa bermimpi didatangi orang tua yang
memminta bayi itu di dalam kandungan itu diserahkan kepadanya. Apabila sedar
dari mimpi (terjaga), perut wanita tersebut menjadi kempis secara tiba-tiba dan
bayi di dalam kandungannya disahkan hilang apabila diperiksa doktor (Abdullah
Hussien Alattas, 2008: 13).
Kain baju dan
selimut milik manusia biasa amat digemari bunian dan ada juga diantara mereka
yang sanggup mengambilnya. Sekiranya barangan tersebut dikembalikan,
barang-barang tersebut akan berbau sangat busuk biarpun dicuci berulang kali.
Sehingga kini, tiada siapa tahu sebab bunian suka pada pakaian dan selimut
manusia (Abdullah Hussien Alattas, 2008: 12).
Ada pendapat
menyatakan bahawa sesetengah bunian yang mempelajari ilmu tertentu mampu
menzahirkan diri mereka seperti manusia biasa seperti juga manusia biasa yang
memiliki ilmu tertentu untuk melihat atau memasuki alam bunian. Sesetengah
pendapat juga mengatakan bahawa terdapat segelintir kanak-kanak yang mampu
melihat alam bunian disebabkan mereka masih suci. Perkara ini disangkal oleh
sesetengah pihak yang lain yang mendakwa bahawa tubuh kanak-kanak tersebut
telah ditumpangi bunian sehinggakan mereka mampu melihat bunian (Abdullah
Hussien Alattas, 2008: 12).
Alam bunian dikatakan amat tenang dan cuacanya
sentiasa redup. Peredaran masa di alam bunian dikatakan sangat berbeza dengan
dunia sebenar. Sehari di alam bunian bersamaan seminggu, sebulan atau 10 tahun
di alam manusia. Seringkali terjadi apabila seseorang manusia dibawa masuk ke
alam bunian untuk beberapa lama dan kemudian kembali ke alam nyata, banyak
perubahan berlaku akibat perbezaan masa itu (Abdullah Hussien Alattas, 2008:
13).
Ada juga
mengatakan bahawa ada lelaki atau wanita yang berkahwin dengan bunian dan
mendapat zuriat. Ada yang mengikut pasangan mereka tinggal di alam bunian dan
ada juga terus menetap di alam nyata namun hanya orang yang berkahwin dengan
bunian sahaja yang dappat melihat pasangannya serta anak-anak hasil perkahwinan
itu. Manusia lain hanya dapat mendengar perbualan atau senda gurau merek di
luar rumah. Manusia yang berkahwin dengan bunia dipercayai dikurniakan kuasa
ajaib. Kononnya sekiranya seseorang tinggal di alam bunian, orang tersebut
tidak dibenarkan balik ke alam asal (manusia) (Abdullah Hussien Alattas, 2008:
14).
Dalam beberapa kajian lain di eropah, makhluk bunian dikatakan tergolong dalam jenis-jenis manusia ghaib atau hidden people. Antara makhluk lain yang digolongkan dalam hidden people termasuklah pari-pari, elf, gnomes dan lain-lain. Malah dikatakan mermaid atau duyung juga dikatakan sebahagian dari golongan tersebut. Kajian-kajian berkaitan makhluk ini boleh diperolehi dalam kajian-kajian agam dan kepercayaan atau Theologi, kajian-kajian makhluk mitos atau Mythology, kajian-kajian sastera yang mengkaji tradisi rakyat mengenai makhluk mitos, kajian Antropologi, kajian haiwan-haiwa mitos dan pelik iaiatu Cryptozoology, Folklorist yang mengkaji kedua-duanya sastera dan budaya, kajian minda manusia iaitu Parapsychology, dan lain-lain.
Diharap coretan dan tulisan ini dapat dijadikan pedoman, menambahkan ilmu mahupun dijadikan perdebatan dan perbincangan secara sihat dikalangan pencinta-pencinta ilmu...
Abdullah Hussien Alattas. 2008. 99 Jelmaan Makhluk Halus : Hantu Tenggelung, Hantu Kubur, Orang bunian,
Penanggal, Jin Islam, Hantu Bujang Sembelih. Batu Caves: Team PSI Production