TRAVEL - Menurut Perspektif Islam

TRAVEL IN ISLAM

Dalam makalah kali ini, saya ingin berkongsi tentang pandangan Islam mengenai travel, mengembara, berjalan, atau dalam wadah Islam lebih dikenali sebagai musafir. Makalah ini dibuat kerana minat saya sendiri untuk mengembara, namun sebagai seoraang Islam, pengembaraan atau apa jua aktiviti yang dilakukan perlulah seiring dengan aturan-aturan agama yang ditetapkan. 

Menurut Islam, mengembara bukan sahaja dibolehkan,malah digalakkan sebagai satu aktiviti yang baik, atas tujuan yang baik. Antara faktor utama Allah menggalakkan hambanya untuk mengembara adalah bagi melihat kebesaran ciptaan Tuhan di muka bumi ini dan berfikir tentang alam dan kejadian-kejadian ciptaannya. 



Selain itu, Allah juga menyuruh kita supaya beringat dan berwaspada akan hukuman dan bala Allah terhadap golongan kaum-kaum terdahulu akibat terpeesong dari jalannya. Adakah perkara ini berkaitan dengan arkeologi? Dimana hasil arkeologi seluruh dunia banyak menceritakan tentang bangsa-bangsa kuno yang musnah akibat bencana atau hilang tanpa kesan kecuali puing-puing lama dan tinggalan-tinggalan kecil supaya kita berfikir dan insaf?



Mengembara atas tujuan dan niat yang baik juga digalakkan seperti menunaikan umrah atau haji, mencari ilmu dan belajar, mencari rezeki atau bekerja, menziarah sanak saudara dan rakan, serta berjalan-jalan bersama keluaraga atau rakan, berdakwah dan lain-lain. Terdapat beberapa adab mengembara yang digariskan dalam Islam iaitu: 

  1. Musafir dengan niat dan tujuan yang baik.
  2. Mandi sunat sebelum bermusafir.
  3. Solat sunat musafir seterusnya berdoa sebelum memulakan perjalanan.
  4. Menyediakan bekalan yang secukupnya termasuk kenderaan, makanan, wang, pakaian dan ubatan jika perlu.
  5. Jika bermusafir dalam kumpulan tiga orang atau lebih, sunat melantik seorang menjadi ketua.
  6. Sunat mengucapkan selamat tinggal kepada yang ditinggalkan bagi memaklumkan tentang keberangkatan dan tempat yang dituju.
  7. Memilih teman musafir yang soleh.
  8. Bagi Suami/Bapa, sebelum meninggalkan keluarga untuk musafir, diwajibkan menyediakan keperluan keluarga selama mana dia mengembara termasuklah nafkah isteri, makanan dan keperluan keluarga.
  9. Menjaga kebersihan kawasan yang dilalui atau bermalam.
Dalam Islam juga terdapat kemudahan-kemudahan yang berkaitan dengan pengembaraan yang diberikan kepada orang yang bermusafir, menunjukkan bahawa Islam tidak pernah melarang musafir malah menggalakkannya. Antara kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan termasuklah kemudahan dalam beribadat terutamanya Solat. Orang yang bermusafir boleh solat secara Jamak dan Qasar. Tayamum bagi Pengembara yang ketiadaan air untuk berwuduq. Cara-cara Istinjak (menyucikan kotoran) jika ketiadaan air. Panduan mencari Qiblat jika ketiadaan Kompas. Darurat makan dan minum jika terpaksa dan lain-lain. Panduan-panduan dan kemudahan ini banyak membantu pengembara Islam zaman dahulu mengembara merentasi daratan mahupun lautan yang akhirnya Islam tersebar ke seluruh Alam.

Dibawah merupakan beberapa potong ayat Al-Quran yang membuktikkan bahawa Allah menggalakkan umatnya untuk mengembara...

1) Surah Muhammad Ayat 10



Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.


2) Surah Al-Mulk ayat 15




Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.



3) Surah Luqman Ayat 31




Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.



4) Surah Yusuf Ayat 109






Dan tiadalah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?





5) Surah Ar-Rum Ayat 42






Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.

6) Surah Ali 'Imran Ayat 137


Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).

7) Surah Ar-Rum Ayat 9


Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-Rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

8) Surah An-Naml Ayat 69


Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu.

9) Surah Al-An'aam Ayat 11


Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul) itu.

10) Surah Al-Hajj Ayat 46



Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dada.


Kredit : 
1) SAYS : 9 Ayat Al-Quran Yang Galakkan Umat Manusia Untuk 'Travel' Dan Lihat Dunia 
(http://says.com/my/seismik/ayat-al-quran-yang-menggalakkan-umat-islam-untuk-mengembara)

2) Musafir Al-Ghuroba : Bermusafirlah... (http://musafirghuroba.blogspot.my/2013/02/bermusafirlah.html)



Dapat kita teliti, ayat-ayat tersebut menunjukkan pesanan Tuhan untuk kita sebagai Hamba mengembara untuk melihat kesudahan-kesudahan buruk yang menimpa kaum-kaum terdahulu yang ingkar akan ajaran Tuhannya, disamping melihat penciptaan Alam oleh Pencipta yang tidak mampu ditiru oleh manusia, agungnya ciptaan yang Maha Esa... Berjalanlah dan berfikirlah....


Hikmah Kembara

Album : Hikmah Kembara
Munsyid : Mirwana


Di sini kau berdiri
berpijak di bumi
menjunjung langit yang luas
Pernahkah kau berfikir
alam penuh rahsia
anugerah yang maha esa

(CHORUS)
Berjalan,bermusafirlah
melihat kebesaran tuhan 
yang diciptakan untuk
mereka yang berfikir
dan bersyukur di atas nikmat
dan kurnianya
nilai harganya,iman dan taqwa
bagi hamba yang setia

Tiada beza warna,kulit atau rupa
yang ada hanya insan yang lemah
dengan satu tujuan mencari keredhaan
dan berbudi di bumi tuhan

Fikirkanlah..dimana arah kita
Renungilah..hikmah kembara
menuju kasih
buktikan cinta kita..
kepadanya..
ini kembara kita

Berjalan dan bermusafirlah
untuk melihat kebesarannya
lantas berfikir dan bersyukur
diatas nikmat dan kurnianya
nilai harganya iman dan taqwa
bagi hamba yag setia

Sumber : http://liriknasyid.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment